SAGA XI: Beluran Juara Keseluruhan Boling Padang SAGA XI
Wartawan : Siscalistorina Janius
Foto : Jefren Malaning
TAWAU: Acara boling padang menutup tirai Sukan Sabah (SAGA) XI 2025 dengan daerah Beluran muncul juara keseluruhan yang berlangsung di Gelanggang Lawn Bowls, Kompleks Sukan Tawau.
Beluran mengekalkan kedudukannya di tangga teratas dengan tiga pingat emas dan dua gangsa, diikuti Kota Kinabalu di tempat kedua dengan dua emas, satu perak dan dua gangsa, manakala Papar di tempat ketiga selepas meraih dua emas dan satu perak.
Pada hari terakhir, Beluran terus cemerlang apabila meraih emas dalam kategori Triples Lelaki menerusi atlet Abdul Nur Hakim Sumail, Asnirul Arispadillah, Asmirul Arispadillah dan Muhammad Alif Haiqal Mohd Shaiful. Pingat perak milik Tuaran, manakala Ranau dan Kota Kinabalu berkongsi gangsa.
Beluran turut mengungguli kategori Triples Wanita selepas menewaskan Tuaran untuk pingat emas, manakala Tawau dan Ranau berkongsi gangsa.
Bagi kategori Pairs Lelaki, Kota Kinabalu berjaya menggenggam emas selepas menewaskan Nabawan yang meraih perak, sementara Ranau dan Tawau berkongsi gangsa.
Manakala dalam kategori Pairs Wanita, Papar meraih emas selepas mengatasi Nabawan di tempat kedua, dengan Beluran dan Ranau berkongsi pingat gangsa.
Turut disampaikan anugerah khas, yang menobatkan Asnirul Arispadillah dari Beluran sebagai Most Valuable Male Player dan Nuremilda Jazeemi Jali @ Jalit dari Papar sebagai Most Valuable Female Player.
Sementara itu, anugerah Best Female Team diberikan kepada pasukan Tuaran yang diwakili oleh Nor Aznah Azlie, Nur Alya Adina Ruamin dan Nursyaidatul Hikma Muhamad Shah, manakala Best Male Team menjadi milik Kota Kinabalu./Penerangan-







Comments
Post a Comment