Ceburi Bidang Kecantikan, Kesihatan - Phoong

 Wartawan        : Deonalissa Jekee Edin

Jurufoto            : Vicky Sylvester Matanjang


KOTA KINABALU : Generasi muda diseru untuk menceburi bidang kecantikan dan kesihatan seperti estetik, dermatologi dan kosmetologi.


Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, pasaran global bagi perubatan estetik dan dermatologi pada tahun 2023 bernilai RM 8.49 trillion dan dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 12 peratus dari tahun 2024 hingga 2032.

Amos ketika menyampaikan ucapan.

"Di Malaysia, sektor perubatan estetik menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan yang mana pendapatan klinik perubatan estetik meningkat pada kadar sebanyak 30.8 peratus dari tahun 2019 hingga 2021. 


"Pada 2022, pasaran estetik domestik pula dianggarkan berjumlah RM468.8 juta dan dijangka berkembang pada CAGR sebanyak 18.8 peratus, meningkat daripada RM 366.3 juta pada 2021 kepada RM 1.03 bilion menjelang tahun 2027.


GIMIK...Amos (lima dari kiri) bersama tetamu jemputan menyempurnakan gimik perasmian.


"Saya juga melihat adanya peluang besar bagi generasi muda untuk menceburi bidang kecantikan dan kesihatan seperti estetik, dermatologi dan kosmetologi.


"Justeru, saya menyeru kepada anak-anak muda Sabah yang cemerlang dalam akademik untuk menceburi dua sub bidang perubatan yang saya sebutkan tadi. 


"Selain itu, bidang kosmetologi atau ilmu persolekan juga satu bidang mempunyai prospek yang baik dan boleh diceburi oleh anak-anak Sabah," katanya ketika berucap merasmikan Sabah International Beauty Expo di sini, pada Jumaat.


Teks ucapan beliau dibacakan wakilnya, Amos Thien Tze Tin.


CENDERAMATA...Amos (kiri) menerima cenderamata daripada Dayang.

Beliau menambah, dalam konteks Sabah, banyak herba tempatan antaranya buah durian belanda dan sarang burung yang menurut kajian penyelidik Universiti Malaysia Sabah berpotensi dikomersialkan sebagai produk kecantikan dan kesihatan organik yang lebih selamat dan bebas daripada bahan kimia berbahaya. 


"Banyak lagi tanaman herba kesihatan yang ada di Sabah seperti sacha inchikonjac dan guarana berpotensi untuk ditanam secara besar-besaran dan dikomersialkan hingga peringkat global," ujarnya.


KENANGAN...Amos (kanan) dan Dayang bergambar kenangan selepas persembahan tarian singa.


Ekspo berkenaan berlangsung selama tiga hari mulai Jumaat dengan penyertaan lebih 201 reruai mewakili 250 jenama produk syarikat tempatan dan antarabangsa.


Hadir sama, Pengarah Urusan ESM Exhibitor Relations Malaysia, Datuk Dayang Khatijah Datu Bachtiyal, Penolong Pengarah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia Sabah, Nurashiqien Shafiqah Jimmy dan Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Datuk Rosmawatie Lasuki./Penerangan


 Amos (kanan) melawat salah sebuah reruai dalam ekspo berkenaan.

Comments

Popular posts from this blog

Kota Kinabalu Tuan Rumah SKAW Jun Ini

Kota Kinabalu Jadi Tuan Rumah ASEAN Women’s Conference 2025 Ogos Ini

FKAT Siri Ke-10 Dijangka Lebih Meriah