Kota Kinabalu Jadi Tuan Rumah ASEAN Women’s Conference 2025 Ogos Ini
Wartawan: Idris Sani Saberun
Foto: Azman Jumat
KOTA KINABALU: Kota Kinabalu bakal menjadi tuan rumah bagi ASEAN Women’s Conference on Best Practices 2025 (AWCoBP 2025) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada 16 Ogos depan.
Dayang Khatijah (tengah) ketika menjelaskan tujuan kunjungan beliau dan rombongan kepada Toh Puan Faridah (kiri) sambil disaksikan Rozita (kanan). |
| Dayang Khatijah (tengah) ketika menjelaskan tujuan kunjungan beliau dan rombongan kepada Toh Puan Faridah (kiri) sambil disaksikan Rozita (kanan). |
Presiden Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Wanita (IKSnita) Sabah, Datuk Dayang Khatijah Datu Bachtiyal berkata program tersebut diadakan bagi menghimpunkan ratusan wanita dari lima negara ASEAN untuk berkongsi amalan terbaik dan memperkukuh agenda pemerkasaan wanita serantau.
"Persidangan ini menekankan kepentingan mempercepatkan tindakan kolektif dan merapatkan jurang data antara wanita melalui perkongsian pengalaman, penyelesaian dan kejayaan merentas pelbagai bidang.
"AWCoBP 2025 adalah satu-satunya platform tahunan yang bersifat interdisiplin – kita membawa wanita dari pelbagai latar belakang dan bidang untuk bertukar pandangan serta membentuk solusi menyeluruh terhadap cabaran wanita masa kini," katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Faridah Tussin di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.
Beliau yang diiringi Rektor UITM Cawangan Sabah Prof Madya Dr Rozita Mohammed memaklumkan, tujuan persidangan tersebut adalah untuk menjemput Toh Puan Faridah merasmikan program yang dijangka dihadiri kira-kira 500 peserta wanita dari seluruh ASEAN.
Selain sesi konferensi dari jam 8 pagi hingga 5 petang, AWCoBP 2025 turut menampilkan pameran, persembahan kebudayaan ASEAN, dan sesi interaktif yang mempamerkan kekayaan pengalaman serta kejayaan wanita serantau.
"Ini bukan sekadar acara – ia adalah momen penting untuk meraikan kemajuan wanita, menghubungkan pemimpin dan memperkasa agenda wanita di Sabah serta ASEAN," tambah beliau.
AWCoBP 2025 dijangka menjadi antara platform pemerkasaan wanita paling berimpak tinggi tahun ini, khususnya dalam memastikan perkongsian amalan terbaik terus dikongsi secara saksama dan strategik di peringkat serantau./Penerangan-
Comments
Post a Comment