Ibu Bapa Dinasihat Peka Tahap Pendengaran Bayi
Jurufoto : Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah
KOTA KINABALU: Ibu bapa dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap tahap pendengaran bayi bagi membolehkan masalah dikesan lebih awal sekali gus memudahkan proses pemulihan.
Pengarah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Dr. Yogendra A/L Panchalingam berkata masalah pendengaran boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, termasuk bayi yang baru lahir.
"Masalah pendengaran adalah masalah tersembunyi dan hanya boleh dikesan melalui ujian saringan.
"Tanpa pengesanan awal, ia boleh menjejaskan perkembangan pertuturan, kognitif serta fungsi sosial bayi dan kanak-kanak," katanya ketika merasmikan Bengkel Modul Latihan dan Garis Panduan Privileging Petugas Saringan Pendengaran Bayi (PSPB) di HWKKS, baru-baru ini.
Tambah beliau, ibu bapa juga perlu berhati-hati kerana saraf telinga dan pendengaran bayi mudah terjejas sekiranya berlaku kecederaan, terutama di bahagian kepala.
“Jika berlaku hentakan atau kecederaan di kawasan kepala, segera dapatkan pemeriksaan telinga dan pendengaran daripada pegawai perubatan,” ujarnya.
| Dr. Yoge (tengah) dan peserta bengkel bergambar kenangan. |
| Pakar Perubatan dan jururawat HWKKS yang terlibat sebagai Petugas Saringan Pendengaran Bayi (PSPB). |
| Dr. Yoge semasa melawat tapak pameran alat pendengaran. |
| Ujian saringan pendengaran mampu mengesan masalah pendengaran di peringkat awal. |
| Sebahagian daripada Pegawai Pemulihan Perubatan (Audiologi). |
| Dr. Yoge (kanan) ketika menerima cenderakenangan daripada Dr. Halimudin (kiri). |
| Pegawai Pemulihan Perubatan (Audiologi) menyampaikan ceramah berkaitan kepentingan melakukan ujian saringan dan teknik ujian saringan pendengaran yang betul kepada bayi. |
Bengkel dua hari anjuran Unit Audiologi HWKKS itu disertai lebih 50 peserta terdiri daripada petugas PSPB, paramedik dan jururawat perubatan.
Menurut Dr. Yogendra, menerusi bengkel itu peserta diberi pendedahan tentang garis panduan dan standard privileging PSPB, selain meningkatkan kemahiran menyampaikan maklumat kesihatan kepada masyarakat.
Sebanyak enam kertas kerja dibentangkan oleh pakar perubatan dan audiologi jemputan, selain sesi latihan amali dan pemeriksaan.
Turut hadir, Ketua Perkhidmatan Otorinolaringologi (ORL) Negeri Sabah, Dr. Halimudin Bin Sawali; Ketua Jabatan O&G, Dato’ Dr. K. Balanathan A/L Kathirgamanathan dan Ketua Perkhidmatan Audiologi Negeri Sabah, Puan Sitti Ladyia Binti Mohd Salleh./Penerangan-
Comments
Post a Comment