2,300 Sertai Jambori Nusantara Antarabangsa Tawau

 Wartawan :  Bustan Made Aming
 Foto :  Pejabat Penerangan Daerah Tawau


TAWAU: Jambori Nusantara Antarabangsa Tawau ke-3 berjaya menghimpunkan lebih 2,300 peserta dari pelbagai negara menjadikannya antara perhimpunan belia terbesar di kawasan Borneo pada tahun ini.

Program bertaraf antarabangsa yang berlangsung di di Kem Pengakap Tiku itu bukan sahaja disertai peserta dari seluruh Sabah, Johor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, malah turut membabitkan kehadiran dari Negara Brunei Darussalam dan Gerakan Pramuka Indonesia.


Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, jambori itu menjadi platform penting dalam membentuk sahsiah dan jati diri generasi muda melalui pelbagai pengisian bersifat fizikal, kerohanian, kepimpinan dan kemahiran insaniah.

Nizam (lima kiri, berdiri) merakamkan gambar kenangan bersama para peserta
dan AJK VIP Pengakap. 

“Hakikatnya, jambori ini bukan sekadar perhimpunan pengakap. Ia adalah simbol kesatuan, wadah pertukaran ilmu dan budaya serta pentas memupuk nilai-nilai murni seperti keberanian, disiplin, kepimpinan dan rasa hormat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Jambori Nusantara Antarabangsa Tawau ke-3, di Kem Pengakap Tiku, baru-baru ini.

Nizam berkata, jambori yang menghimpunkan belia dari pelbagai latar belakang itu turut berperanan sebagai jambatan memperkukuh semangat perpaduan dan persaudaraan serantau, khususnya dalam kalangan masyarakat Nusantara.

Nizam (tengah) menerima cenderamata yang disampaikn oleh Jamaludin (empat kiri). 


“Ilmu bukan hanya terkandung dalam buku. Apa yang dipelajari di sini bukan sekadar untuk mendapatkan lencana, tetapi untuk hidup. Belajar berdikari, belajar bercakap dengan yakin dan berani.

“Jambori ini merentasi bendera dan sempadan negara. Ia memupuk semangat sejati pengakap Nusantara, membawa obor tanggungjawab, keamanan, integriti dan rasa hormat terhadap budaya, alam sekitar dan sesama manusia,” jelasnya.

Ketibaan Nizam (kanan) disambut meriah sejurus sampai di tapak perkhemahan. 


Menurut beliau, keseimbangan antara pendidikan akademik dan kemahiran insaniah perlu diberi perhatian kerana ia adalah asas pembinaan modal insan berkemahiran tinggi yang beradab dan beretika.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Ketua Konsulat Republik Indonesia di Tawau, Bapak Aris Heru Utomo; Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah, Jamaludin @ Jamal Jinal; Pesuruhjaya Pengakap Daerah Tawau, Lee Chee Kiong; dan Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri Sabah, Sari Arshad./Penerangan-



Comments

Popular posts from this blog

Kota Kinabalu Tuan Rumah SKAW Jun Ini

Kota Kinabalu Jadi Tuan Rumah ASEAN Women’s Conference 2025 Ogos Ini

FKAT Siri Ke-10 Dijangka Lebih Meriah