Meja Rundingan Selesaikan Isu Tarif AS - Anwar

 Wartawan :   Zuraidah Ahmad
 Foto:  Johny George Kimlon / Jeffren Malaning


KOTA KINABALU:   Malaysia kekal dengan pendirian meja rundingan untuk menyelesaikan isu pelaksanaan tarif oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kaedah rundingan mustahak untuk memastikan hubungan bilateral Malaysia - AS kekal baik memandangkan ia merupakan rakan dagang ketiga terbesar, selepas Singapura dan China.

Anwar ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran Projek Esteel Enterprise Sabah Sdn. Bhd (Esteel) Fasa 1.



"Kita sekarang hidup pada zaman serba mencabar di mana kita berhadapan dengan kesan terbesar, langsung dan juga tidak langsung akibat tarif yang diumumkan oleh Amerika Syarikat.

"Namun, mari kita lihat perkara ini daripada sudut positif, yang pertama sudah tentu kita akan meneruskan siri rundingan kerana Amerika Syarikat merupakan salah satu pelabur penting kepada Malaysia. 

Anwar bersalaman dengan Ewon (kiri).


"Pelaburan negara Amerika Syarikat merupakan yang tertinggi di Malaysia dan kita harus mengekalkan hubungan baik dengan mereka," ujarnya.

Menurut Anwar, pendirian Malaysia itu juga penting bagi memastikan prinsip perjanjian atau tarif tersebut adalah adil dan mematuhi undang-undang.

Anwar (empat dari kiri) bersama Hajiji (tiga dari kiri), Shahelmey (dua dari kiri), Jiang,
Phoong dan Armizan (kanan) semasa bacaan doa.



"Saya akan bertemu dengan Pegawai Kerajaan Amerika Syarikat dan pada waktu yang sama juga turut bertemu dengan Presiden Singapura, Lawrence Wong untuk membincangkan berkenaan dialog Singapura - Malaysia yang memberi gambaran bahawa Malaysia dan Singapura akan terus mengekalkan hubungan baik kerana kita merupakan rakan negara dagang," jelasnya.

"Malah, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz juga telah pergi ke Amerika Syarikat untuk berunding, memberikan pandangan berkenaan kedudukan kita, bahawa kita telah bersama sama dengan semua negara ASEAN untuk mengambil prinsip yang sama.

 GIMIK...Anwar (tengah) menyempurnakan gimik majlis.

"Bersama negara lain seperti Korea, Jepun dan China yang menyokong pendirian Malaysia untuk kekal menyokong hubungan dagang dua hala (bilateral) dan menolak sebarang tindakan unilateral," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran Projek Esteel Enterprise Sabah Sdn. Bhd (Esteel) Fasa 1 di sini, pada Jumaat.

Mengiringi beliau ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ir. Shahelmey Yahya, Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah Datuk Phoong Jin Zhe dan Pengarah Kumpulan Esteel Jiang Hairong.

Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Pembangunan Usahawan dan Korporasi Datuk Ewon Benedick, Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Seri Rosli Isa dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong./Penerangan-

Comments

Popular posts from this blog

Kota Kinabalu Tuan Rumah SKAW Jun Ini

Kota Kinabalu Jadi Tuan Rumah ASEAN Women’s Conference 2025 Ogos Ini

FKAT Siri Ke-10 Dijangka Lebih Meriah