Berita Palsu Cabaran Besar Media Menjelang Pilihan Raya - Presiden SJA
Jurufoto : Shahvian Mohd Razali/Jefren Malaning/Merusin Minuddin
KOTA KINABALU: Penyebaran berita tidak sahih di media sosial merupakan antara cabaran terbesar yang dihadapi industri media, khususnya menjelang musim pilihan raya yang dijangka menjadi medan pertempuran politik.
Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Mariah Doksil berkata laporan palsu dan separuh benar bukan sahaja menjejaskan perniagaan dan reputasi kerajaan serta ahli politik, malah mampu memecahbelahkan perpaduan masyarakat.
“Kita semua tahu betapa besar kesan berita tidak sahih. Ketika pilihan raya, laman media sosial menjadi tumpuan penyebaran maklumat dan sekiranya tiada kawalan boleh membawa kesan buruk kepada kestabilan masyarakat,” katanya pada Majlis Anugerah Kinabalu Press Awards (KPA) 2025, pada Ahad.
Justeru, Mariah mencadangkan agar kerajaan negeri menjalin perkongsian strategik secara langsung dengan organisasi media termasuk menerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memperkukuh daya tahan sektor media dalam menyampaikan maklumat sahih.
![]() |
| Joniston (tujuh dari kanan) bergambar kenangan bersama AJK SJA. |
![]() |
| Maria ketika menyampaikan ucapannya |
![]() |
| Joniston (sembilan kanan), Maria (lapan kanan) bergambar kenangan bersama antara para pemenang KPA 2024. |
“SJA mengemukakan idea ini sebagai cadangan jangka panjang. Namun pelaksanaannya memerlukan sokongan daripada entiti besar dan kukuh. Kami percaya peranan media yang bebas dan bertanggungjawab harus dipertahankan oleh semua pihak,” katanya.
Menurut Mariah sebanyak 268 penyertaan diterima bagi KPA tahun ini dengan penilaian dibuat oleh juri profesional di bawah seliaan Institut Akhbar Malaysia (MPI).
Mengulas lanjut, beliau berkata penganjuran anugerah itu bukan hanya mengiktiraf karya cemerlang tetapi juga meraikan semangat kewartawanan yang menjadi nadi penyampai kisah perjuangan dan perubahan dalam masyarakat.
“Kita sering menyampaikan kisah orang lain, namun kita juga insan biasa di sebalik setiap byline, rakaman dan foto yang berusaha untuk menyampaikan kebenaran,” ujarnya.
Dalam majlis sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah yang menyalurkan peruntukan sebanyak RM110,000 untuk KPA 2025 meningkat RM10,000 berbanding tahun lalu.
Anugerah yang diumumkan antaranya ialah Best Picture Award yang dimenangi Mohd Adam Eussoffefuddin (Harian Metro) manakala merit diberikan kepada Merusin Minuddin (Jabatan Penerangan Sabah) dan Arjasneh Ahmad (Bernama).
Broadcasting Journalism Award pula dimenangi oleh Magdalena Depol, Awang Md Zulfahmi Awang Zulkifli dan Hossana Princely Joly (RTM Sabah), manakala Journalism Award (Feature and News Feature) dimenangi Suraidah Roslan (Utusan Malaysia – Bahasa Malaysia), Tan Giok Seh (Sin Chew Daily – Bahasa Cina) dan Sherell Ann Jeffrey (Daily Express – Bahasa Inggeris).



Comments
Post a Comment