Tiga MOU Strategik Dimeterai Perkasa Sektor Pertanian, Ternakan di Sabah
Wartawan : Deonalissa Jekee Edin
Foto : Azman Jumat
KOTA KINABALU : Tiga Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai dalam usaha memajukan sektor pertanian serta meningkatkan keterjaminan makanan negara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, tiga MoU berkenaan di antara Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Keningau dan Absolute Moringa Sdn. Bhd. (AM Sdn. Bhd), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Desa Keningau Livestock Industries Sdn. Bhd. (DKLI) serta LPP dan Sawit Kinabalu Farm Products Sdn. Bhd. (SKFP) melibatkan jumlah keseluruhan bernilai RM 13 juta.
![]() |
| KENANGAN...Arthur (tengah) bergambar kenangan bersama pihak yang terlibat dengan MoU. |
"Perjanjian pertama melibatkan kerjasama antara PPK Keningau dan AM Sdn Bhd dengan nilai MoU sebanyak RM10 juta dalam bidang pemasaran dan pengedaran input pertanian dengan tujuan memperkasakan perniagaan dan perkhidmatan bekalan input pertanian pertubuhan peladang kepada pelanggan di kalangan ahli dan bukan ahli di negeri Sabah.
"Perjanjian kedua bernilai RM3 juta dimeterai antara LPP dan DKLI dan kerjasama ini adalah untuk pelaksanaan projek kerjasama tanaman jagung bijian bagi meningkatkan pengeluaran jagung bijian tempatan melalui pendekatan korporat dan pemindahan teknologi.
![]() |
| Arthur (belakang, tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian di antara PPK Keningau dan AM Sdn. Bhd. |
"Saya difahamkan bahawa projek ini akan dilaksanakan dalam masa yang terdekat dan projek ini bagus, ada kesan jangka masa yang panjang iaitu untuk mengurangkan kebergantungan kita kepada jagung bijian import sebagai bahan makanan kepada industri ternakan di negara kita maka itu secara tidak langsung akan meningkatkan lagi bekalan dan mengurangkan kos menternak.
"Manakala, MOU yang ketiga adalah di antara LPP dan SKFP dan tujuan MoU ini adalah untuk melaksanakan pemindahan teknologi projek ternakan lembu biak bakar secara integrasi sawit.
![]() |
| TUKAR...Pertukaran dokumen perjanjian di antara LPP dan SKFP sambil disaksikan Arthur (belakang, dua dari kanan). |
"Projek ini merupakan kerjasama teknikal, tidak ada nilai tapi ada kerjasama teknikal supaya kawasan itu boleh digunakan untuk ternakan integrasi apabila kita melaksanakan beberapa projek berimpak tinggi," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) Melibatkan LPP Sempena Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan di sini, pada Jumaat.
Menurut Arthur, kerjasama itu memberikan banyak manfaat terutamanya kepada penduduk setempat.
"Apabila kita melaksanakan beberapa projek high impact ini, ia menunjukkan ada hubungan kerjasama yang erat di antara kerajaan bersama dengan sektor swasta dalam memajukan sektor pertanian dan meningkatkan keterjaminan makanan negara kita.
"Selain itu, kita mengurangkan kebergantungan import sekiranya dapat meningkatkan pengeluaran daripada bahan seperti jagung bijian dan itu akan meningkatkan ekonomi sebab industri ini akan menjadi lebih accessible kepada penternak-penternak kita dan juga mengurangkan harga makanan khususnya ternakan ini," ujarnya.
Beliau berkata ketiga-tiga kerjasama berkenaan penting di antara kerajaan dan juga sektor swasta agar limpahan ekonomi juga dapat dinikmati oleh masyarakat setempat di kawasan yang berdekatan./Penerangan




Comments
Post a Comment