SKPS, BUDI95 Perkasakan Kawalan Subsidi RON95, Banteras Ketirisan

 Wartawan            : Siscalistorina Janius

Jurufoto                : Johny George Kimlon

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bukan sahaja memperkukuh penyampaian subsidi kepada rakyat, malah menjadi strategi berkesan menangani ketirisan subsidi bahan api yang berlarutan sejak sekian lama.

Armizan ketika ditemui media.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata inisiatif itu sejajar dengan fokus kementerian meningkatkan ketangkasan penguatkuasaan termasuk aspek pengurusan risiko ketirisan serta integrasi penguatkuasaan digital.

Armizan (dua dari kanan) pada Program Bertemu Pelanggan SPKS RON95 Peringkat Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di SICC.

“Melalui SKPS dan BUDI95, semua transaksi jual beli daripada syarikat minyak, stesen minyak, syarikat serta pengguna individu akan direkodkan secara digital.

Armizan (tengah) diberi penerangan mengenai sistem SKPS dan BUDI95.

“Pembelian menggunakan kad fleet dalam SKPS bagi syarikat dan MyKad dalam BUDI95 bagi individu membolehkan pemantauan serta penguatkuasaan dilaksanakan secara cepat dan berkesan.


“Sistem ini juga membolehkan pemantauan transaksi meragukan termasuk pembelian berulang atau jumlah tidak wajar, sekali gus menyelesaikan isu manipulasi dan penyelewengan dalam rantaian penjualan sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas Program Bertemu Pelanggan SPKS RON95 Peringkat Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, pada Isnin.


Armizan (tengah, duduk) ketika sidang media.

Armizan berkata, pelaksanaan penuh penyasaran subsidi petrol RON95 akan bermula pada 30 September 2025 dengan KPDN bekerjasama rapat bersama Kementerian Kewangan selaku pemilik sistem untuk mengesan sebarang transaksi meragukan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya mematuhi peraturan penggunaan kad fleet, MyKad serta kaedah pembelian lain yang dibenarkan dalam memanfaatkan subsidi petrol RON95.

“KPDN menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak terbabit dalam manipulasi, penyelewengan atau penyeludupan petrol RON95 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].

“Individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata pelaksanaan rintis BUDI95 pada 27 dan 28 September melibatkan anggota keselamatan serta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berjalan lancar.

“Berdasarkan rekod Kementerian Kewangan, pada hari kedua pelaksanaan iaitu 28 September, seramai 27,916 pengguna di Sabah telah memanfaatkan subsidi dengan menikmati harga runcit serendah RM1.99 seliter.

“Pelaksanaan penuh mulai 30 September ini dijangka memanfaatkan 16 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas,” ujarnya./Penerangan

Comments

Popular posts from this blog

Kota Kinabalu Tuan Rumah SKAW Jun Ini

Kota Kinabalu Jadi Tuan Rumah ASEAN Women’s Conference 2025 Ogos Ini

FKAT Siri Ke-10 Dijangka Lebih Meriah