PBGW Lindungi Hak Wanita, Bantu Selesai 1,462 Kes Sejak 2018
Wartawan : Nazri Ramshah
Jurufoto : Johnny Joklis
KOTA KINABALU : Pusat Bantuan Guaman Wanita Sabah (PBGW) berjaya membantu mempertahankan hak 1,113 wanita melibatkan 1,462 kes sejak ditubuhkan pada 2018.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), Haslina Ismail berkata pencapaian itu membuktikan PBGW berperanan sebagai nadi keadilan wanita, menyediakan bantuan menyeluruh merangkumi kes syariah, sivil, injunksi, dokumentasi undang-undang dan pelbagai urusan perundangan lain.
“Selain bantuan guaman, JHEWA turut giat melaksanakan program advokasi, outreach, klinik guaman bergerak dan program kesejahteraan melalui kerjasama strategik bersama agensi kerajaan dan swasta.
“Usaha ini memastikan advokasi sampai lebih meluas serta memberi impak signifikan kepada wanita, sama ada di kawasan bandar, luar bandar mahupun pedalaman.
"Semakin ramai wanita berjaya disantuni dan diberi maklumat tepat tentang hak mereka,” katanya ketika berucap pada Program Wanita Peka Undang-Undang Sempena Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2025, pada Khamis.
Majlis tersebut disempurnakan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bersama isterinya, Toh Puan Faridah Tussin.
Haslina turut menzahirkan penghargaan terhadap Tun Musa yang mengilhamkan penubuhan PBGW ketika beliau menjawat jawatan Ketua Menteri Sabah, sekali gus memperkukuh perlindungan undang-undang untuk wanita.
![]() |
| KENANGAN..Tun Musa bergambar kenangan bersama para peserta program. |
![]() |
| Tun Musa (dua kanan) diiringi Zainuddin (tiga kanan) |
![]() |
| Tun Musa (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan kepada salah seorang daripada 10 ibu tunggal yang menerima bantuan. |
![]() |
Tun Musa melawat reruai yang menampilkan hasil usahawan seliaan JHEWA.
![]() |
| Haslina ketika menyampaikan ucapan. |
Tambah Haslina, sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita bukan sekadar peringatan global, sebaliknya isu kemanusiaan kritikal yang perlu ditangani secara tuntas.
“Keganasan dalam apa jua bentuk iaitu fizikal, seksual, emosi, mental, ekonomi mahupun digital adalah pelanggaran hak asasi manusia. Masyarakat tidak akan mampu berkembang selagi ada wanita hidup dalam ketakutan dan trauma,” ujarnya.
Hadir sama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Zainuddin Aman; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Maria Chong dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Josie Lai./Penerangan-





Comments
Post a Comment