Kadar Zakat Fitrah Sabah RM7.50, RM15
Wartawan : Nurfatin Mohammed Yunus
Foto : Volintine Jiloh
KOTA KINABALU : Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) mengisytiharkan kadar zakat fitrah negeri Sabah pada tahun ini ditetapkan pada dua kadar iaitu RM7.50 dan RM15.00.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Isnin Aliasnih berkata pengenalan dua kadar bayaran zakat fitrah itu merupakan langkah baharu kerajaan negeri bagi memberi pilihan kepada umat Islam mengikut kemampuan masing-masing.
“Pada tahun ini kita memulakan langkah baharu dengan membuat dua kadar bayaran, iaitu RM7.50 dan RM15.
"Penetapan dua kadar ini mengambil kira perbezaan harga beras semasa khususnya melibatkan penggunaan beras biasa atau beras wangi.
“Memandangkan rakyat kini sudah ada kemampuan membeli beras wangi, maka kita sediakan dua pilihan,” katanya ketika ditemui media sempena Sidang Akhbar Pengisytiharan Kadar Zakat Fitrah, pada Selasa.
Isnin berkata langkah tersebut dijangka memberi impak positif terhadap peningkatan kutipan zakat dan membolehkan lebih banyak bantuan disalurkan kepada golongan fakir atau miskin di negeri ini.
Sementara itu, Yang Dipertua MUIS, Datuk Yahya Hussin berkata kadar RM7.50 dikenakan ke atas umat Islam yang menggunakan beras putih import, manakala RM15.00 bagi mereka yang menggunakan beras wangi.
“Penetapan kadar ini adalah berasaskan sukatan satu gantang Baghdad atau bersamaan 2.7 kilogram beras yang dimakan oleh majoriti penduduk Islam di negeri Sabah,” ujarnya.
Beliau berkata kadar berkenaan diwajibkan ke atas setiap individu beragama Islam yang bermastautin di negeri Sabah dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak./Penerangan-
Comments
Post a Comment