Perkasa Kualiti Produk Sabah Ke Pasaran Global - Ewon
Wartawan: Nazri Ramshah Abdul Basah
Foto: Shahvian Mohd Razali
KOTA KINABALU : Usaha untuk memperkasakan kualiti produk tempatan adalah merupakan langkah awal bagi membawa jenama Sabah menembusi pasaran global yang lebih kompetitif.
Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET), Datuk Ewon Benedick berkata, kementeriannya kini memberikan tumpuan kepada aspek pensijilan bagi memastikan produk tempatan memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh pasaran luar negara.
"Kita ingin membantu dan membimbing para usahawan tempatan agar mendapatkan pensijilan yang diiktiraf seperti MESTI, Halal, serta pematuhan kepada standard ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tata Urus) yang kini menjadi faktor penting bagi pengguna di luar negara.
"Langkah ini penting untuk memastikan produk Sabah bukan sahaja menarik dari segi luaran, tetapi juga mempunyai kredibiliti yang tinggi untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
"Kita mahu usahawan kita bukan sahaja hebat di pasaran domestik, tetapi mampu bersaing dengan usahawan di luar Sabah dengan memenuhi piawaian antarabangsa” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri Sabah (AKIS) 2024/2025 di sini, pada Jumaat.
Seramai 50 usahawan yang terpilih dalam Program Transformasi Usahawan Sabah diraikan dalam majlis tersebut sebagai simbolik kejayaan pendigitalan dan penjenamaan semula produk IKS Sabah.
“Maklum balas daripada usahawan yang menyertai program transformasi pembungkusan dan pelabelan yang lebih profesional anjuran kementerian menunjukkan peningkatan jualan yang ketara.
“Walaupun ada pepatah mengatakan jangan menilai sesuatu daripada luaran semata-mata, dalam dunia perniagaan elemen pembungkusan dan penampilan luaran memainkan peranan penting dalam mempengaruhi keputusan pembeli,” katanya.
| Syarikat Jetsin menerima anugerah bagi Kategori 6. |
| Syarikat Jetsin menerima anugerah bagi Kategori 6. |
Dalam majlis tersebut, sebanyak enam kategori anugerah yang disertai oleh 28 syarikat yang dinilai berdasarkan beberapa kriteria antaranya nilai jualan tahunan di bawah RM1 juta sehingga melebihi RM50 juta.
Turut hadir Pembantu Menteri MINDET, Datuk Jonnybone J. Kurum, Setiausaha Tetap MINDET Datuk Thomas Logijin serta Pengarah Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) Wilayah Sabah, Ariffin Hamzah./Penerangan-
Comments
Post a Comment