SMJ 2.0 Lonjak Ekonomi Inklusif Sabah
Wartawan : Deonalissa Jekee
Foto : Shahvian Mohd Razali
KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri terus memperkasa pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) sebagai fasa lonjakan baharu bagi memacu daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata perkara itu memastikan kemakmuran dapat dinikmati secara inklusif oleh semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang.
"SMJ 2.0 bukan sekadar kesinambungan kepada pelan pembangunan sebelum ini, sebaliknya menjadi pemangkin perubahan menyeluruh yang menuntut peningkatan keupayaan diri termasuk perubahan cara berfikir, bekerja serta mencipta nilai baharu demi kesejahteraan rakyat Sabah.
“SMJ 2.0 adalah fasa lonjakan ke hadapan yang menekankan pembangunan ekonomi, pemerkasaan modal insan dan kesejahteraan rakyat.
"Perpaduan kekal sebagai kunci utama kepada kestabilan serta kemakmuran negeri,” katanya semasa Majlis Perasmian Karnival Tahun Baharu Cina 2026 di Dataran Deasoka, pada Isnin.
Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Rubin Balang.
Menurut Hajiji, kejayaan pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ 1.0 memberi keyakinan Sabah berada di landasan tepat, manakala SMJ 2.0 pula dirangka selari dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.
"Pendekatan pembangunan berterusan itu penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta mampu menangani cabaran masa depan secara lebih strategik dan bersepadu," ujarnya.
Hajiji turut menegaskan kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat berbilang kaum adalah asas kekuatan sosial Sabah yang perlu terus dipelihara.
"Karnival seperti ini mencerminkan keunikan Sabah sebagai negeri yang kaya dengan kepelbagaian budaya, di mana setiap perayaan diraikan bersama dalam semangat saling menghormati dan muhibah,” tambahnya.
Beliau berkata, pendekatan inklusif kerajaan negeri selari dengan aspirasi membina sebuah Sabah yang aman, bersatu padu dan sejahtera untuk semua.
Hajiji juga mengiktiraf peranan penting masyarakat Cina sebagai rakan strategik dalam pembangunan negeri, khususnya dalam sektor ekonomi, keusahawanan, pendidikan dan pemeliharaan warisan budaya.
Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri akan terus menyokong inisiatif serta penglibatan aktif pertubuhan masyarakat Cina sebagai rakan pelaksana agenda pembangunan Sabah di bawah kerangka Sabah Maju Jaya.
Selain itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Gabungan Persatuan Cina Sabah yang menghimpunkan lebih 160 persatuan dari seluruh negeri dan Wilayah Persekutuan Labuan atas sumbangan berterusan dalam menjayakan pelbagai program kemasyarakatan.
Menurutnya, kerjasama erat antara kerajaan dan pertubuhan masyarakat tanpa mengira kaum amat penting bagi memastikan dasar pembangunan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Al Hambra Tun Juhar; Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah dan Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah, Tan Sri Dr. Goh Tian Chuan./Penerangan-
Comments
Post a Comment