BKNS Sasar 11,800 Penerima Biasiswa

Wartawan :   Zuraidah Ahmad
Foto :   Johny George Kimlon


KOTA KINABALU:  Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) menyasarkan 11,800 pelajar Sabah menerima bantuan kewangan bagi melanjutkan pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dalam dan luar negara.


Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, sasaran itu berikutan peningkatan jumlah dana pendidikan yang diperuntukkan oleh Ketua Menteri Sabah sehingga  RM113 juta bagi memperkasakan modal insan di negeri ini. 

"Kerajaan Negeri Sabah, biasiswa Kerajaan Negeri Sabah telah dinaikkan dananya oleh YAB Ketua Menteri daripada RM50 juta kini sudah mencecah RM113 juta untuk semata-mata membantu anak-anak kita dalam bidang pendidikan pengajian mereka khususnya di IPT dan IPTA.

Rafidah menerima surat tawaran BKNS daripada Arifin (dua dari kiri).


"Untuk anak-anak yang memohon biasiswa kita sudah ada kemudahan yang dilancar oleh YAB Ketua Menteri beberapa bulan yang lalu iaitu portal tajaan biasiswa.

"Portal yang menghimpun penaja-penaja daripada kerajaan negeri iaitu BKNS, Dermasiswa Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Biasiswa Kumpulan Yayasan Sabah termasuk Tabung Pendidikan Negeri Sabah dan juga inisiatif-inisiatif kerajaan negeri dalam bidang pendidikan yang 10 itu BUDI, BAKTI, BISBAH, BAGUS dan sebagainya. Ini usaha kerajaan negeri," ujar beliau.

Mengulas lanjut Arifin berkata, kerajaan juga meluluskan 8,000 pelajar bakal menerima Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) hingga hujung tahun ini.

"Dana disediakan bagi membantu anak-anak kita yang masuk ke universiti bagi membayar yuran mereka. 

Arifin ketika ditemui media.

"Kita ada bantuan BUDI iaitu bantuan sebelum memasuki pengajian untuk ijazah RM2,000 kemudian untuk diploma, matrikulasi mendapat RM1,500. 

"Tahun lalu saja, anak-anak UMS kita sediakan BUDI RM2,000 kepada 2,000 pelajar dan tahun ini sasaran kita seluruh pelajar insyaAllah lebih kurang 5,000 pelajar.

"Kita juga telah mendapat kelulusan daripada Ketua Menteri sehingga penghujung tahun ini kita akan cuba bantu sehingga 8,000 pelajar untuk mendapat bantuan BUDI," jelas beliau.

Arifin yang juga Exco Pendidikan mendedahkan hasil daripada Program Roadshow BKNS di 26 buah IPT di Semenanjung Malaysia berjaya mengesan 2,130 pelajar golongan B40 layak menerima biasiswa berkenaan. 

"Di Semenanjung dalam siri jelajah kita, lebih kurang 2,130 pelajar sudah kita luluskan biasiswa. Ini biasiswa Kerajaan Negeri," katanya.

Beliau ditemui media selepas menyampaikan surat tawaran biasiswa kepada lima pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) sambil diiringi oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Zainudin Aman yang juga Pengerusi Jawatankuasa BKNS di sini, pada Selasa.

Arifin (lima dari kiri) dan Zainudin (lima dari kanan) bergambar kenangan bersama lima penerima Anugerah BKNS.

Para penerima surat lantikan terdiri daripada pelajar viral gadis karung, Rafidah Zaiddin (Sarjana Muda Perakaunan), Puteri Dalilah Sabri (Sarjana Muda Sains Komputer), Carlsen Chiam (Sarjana Muda Sains), Azalina Berson (Sarjana Muda Perakaunan) dan Gene Ashley Rainol (Sarjana Muda Sains).

Sementara itu, Zainudin memaklumkan, permohonan tajaan pendidikan atas talian yang ditutup pada 30 September lalu bagi membolehkan pihaknya melaksanakan proses tapisan dan akan membukanya semula hingga hujung tahun.

"Kita menerima sekitar 580 permohonan atas talian kemudian kita akan buka semula untuk rayuan selepas ini dan kita ada sehingga hjg tahun kita luluskan sekitar 2,000 orang.

"Keseluruhannya, kita target 11,800 orang pelajar akan ditaja ini satu rekod besar kejayaan YAB Ketua Menteri kerana sebelum ini hanya sekitar 5,000 pelajar yang lulus," katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga komited untuk memaksimumkan kemudahan biasiswa untuk membantu para pelajar Sabah sasaran yang ditetapkan./Penerangan-

Comments

Popular posts from this blog

Pekan Kecil Mengkabong Dibina Tahun Ini

SK Mutiara Wakili Malaysia Ke Dance World Cup 2024

Hasil BIGC 2024 Diteliti, Dibawa Ke Kabinet Negeri