Bola Sepak Persahabatan JaPen, RTM Seri 3-3

Wartawan / Foto :  Mohd Haizul Rohani

KOTA KINABALU: Perlawanan bola sepak persahabatan di antara Jabatan Penerangan Malaysia (JaPeN) Sabah dengan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah berkesudahan seri 3-3.

Perlawanan yang diadakan di Padang Jabatan Penjara dekat sini semalam, menyaksikan kedua-dua pasukan adik beradik dalam Kementerian Komunikasi itu saling bertahan di awal permainan.


Namun, pasukan  RTM akhirnya menunjukkan aksi garang dengan menyumbat gol pembukaan oleh penyerang utama, Sipin Pitirus diikuti gol kedua selang 10 minit oleh pemain berpengalaman, Adijan Mayasin.


Supian (empat dari kiri) menerima gegantung daripada Evan Eric Justin (lima dari kiri) mewakili pasukan masing-masing dalam sesi foto sebelum perlawanan bermula.

Hujan dan  padang becak langsung tidak melunturkan semangat pasukan JAPEN yang kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan menerusi tendangan sudut oleh pemain otai, Datu Azli Datu Abdullah hasil hantaran pendek oleh pemain tengah, Badrul Tabid sebelum wisel tamat separuh masa pertama ditiup.

Separuh masa kedua pula menampilkan aksi lebih berstrategi dari kedua-dua pasukan yang saling berbalas serangan.

Malah, suhu padang yang sejuk dirasakan hangat oleh para pemain apabila RTM berjaya meledakkan gol ketiga pada minit ke-80 menerusi hantaran lintang Ozieal Mathew dan disudahi dengan rembatan kencang oleh Mohd Syaffif Syahiran berjersi nombor 32.


Pasukan JAPEN yang turun menentang RTM.

JAPEN yang tidak pernah berputus asa akhirnya mengatur serangan balas dan menyumbat gol penyamaan menerusi penyerang utama pasukan, Zaimudi  Abin dengan jersi nombor 6 selepas menerima lorongan daripada pemain sayap kanan, Nazri Ramshah Abdul Basah berjersi nombor 9.

Turut beraksi dalam perlawanan tersebut ialah Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Supian Musa selaku ketua pasukan JAPEN dan Setiausaha Akhbar Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Irwan Majid./Penerangan-

Comments

Popular posts from this blog

Pekan Kecil Mengkabong Dibina Tahun Ini

SK Mutiara Wakili Malaysia Ke Dance World Cup 2024

Hasil BIGC 2024 Diteliti, Dibawa Ke Kabinet Negeri