Dadah, Judi Perlu Dibanteras - James
Wartawan : Mohd Haizul Rohani
Jurufoto : Jefren Malaning
KOTA KINABALU: Gejala penyalahgunaan dadah dan aktiviti judi atas talian perlu dibanteras demi masa depan anak bangsa.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berkata gejala tersebut mampu menyelinap ke dalam ruang sisi kehidupan masyarakat sekaligus mampu meruntuhkan institusi kekeluargaan jika gagal dibendung.
"Dadah sememangnya dikenali sebagai musuh nombor satu negara yang membawa kehancuran kepada generasi manusia, bahkan kempen dan usaha yang dijalankan termasuklah wujudnya pelbagai agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan yang bekerja keras menjalankan usaha dan fungsi besar meredakan polemik dadah ini.
"Statistik oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (jkm) dari tahun 2015 hingga 2018 pula menunjukkan sebanyak 83 peratus daripada 309 kes keganasan rumah tangga adalah berpunca daripada penagihan dadah.
![]() |
Sesi foto bersama peserta program. |
![]() |
James (dua dari kiri) melawat tapak pameran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). |
![]() |
James semasa berucap. |
![]() |
Haslina (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada James (tengah) |
![]() |
IKRAR...James (dua dari kiri) bersama-sama melafazkan ikrar Rukun Negara. |
"Oleh itu, kesan buruk akibat pengambilan dadah ini kepada institusi kekeluargaan amat membimbangkan yang mana harus kita ambil penekanan bahawa ia perlu dihentikan segera demi masa depan anak bangsa kita," ujar James.
"Pada masa kini juga terdapat banyak kes yang diterima oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya berkaitan judi online.
"Tidak hairan perkara ini amat membimbangkan kerana ia boleh melalaikan kita daripada tanggungjawab terhadap keluarga sekaligus menghabiskan wang yang sepatutnya digunakan untuk keperluan keluarga.
"Selain itu, penjudi ini juga akan selalu dibebani dengan hutang yang boleh menyumbang kepada pergaduhan dalam hubungan kekeluargaan," ujar beliau.
"Justeru, saya menyeru pihak berwajib agar memandang serius perkara ini dan perlu memeranginya kerana boleh meruntuhkan institusi keluarga serta masyarakat Malaysia secara amnya," kata James dalam ucapan beliau semasa merasmikan Majlis Penutupan Program Outreach Santuni Wanita dengan tema Merakyatkan Perkhidmatan Ke Arah Kesejahteraan Wanita bersempena Hari Wanita Antarabangsa 2025.
Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) yang diadakan di Wisma Wanita itu dihadiri oleh seramai 300 orang peserta yang mendengar ceramah dari tiga orang panel di samping pameran oleh jabatan dan agensi kerajaan.
Turut hadir semasa perasmian tersebut Pembantu Menteri Kewangan Datuk Tan Lee Fat, Ahli Dewan undangan Negeri Kepayan Jannie Lasimbang, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Alijah Ismail dan Pengarah JHEWA Haslina Ismail./Penerangan-
Comments
Post a Comment