Aidilfitri Wadah Perkukuh Syukur, Mahabbah, Keharmonian - Arifin
Wartawan : Deonalissa Jekee Edin
Foto : Shahvian Mohd Razali
KOTA KINABALU : Hari Raya Aidilfitri disifatkan sebagai wadah penting untuk umat Islam menzahirkan rasa syukur setelah berjaya menunaikan ibadah sepanjang Ramadan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, perayaan tersebut juga menjadi peluang untuk memperkukuh hubungan silaturahim serta memupuk keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama.
"Sambutan Aidilfitri ini menjadi wadah kepada kita untuk menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana kita telah dapat menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan serta ibadah-ibadah yang lain.
"Sebagai umat Islam, kita hendaklah berdoa agar segala amal ibadah yang dilakukan sepanjang Ramadan diterima dan diberi ganjaran oleh Allah SWT.
"Kita perlu jadikan Aidilfitri ini sebagai wadah untuk kita memperkasa mahabbah serta menjalin erat hubungan ukhuwah serta keharmonian dalam kalangan masyarakat yang terdiri dari pelbagai agama dan kaum," katanya ketika ditemui media semasa Majlis Rukyah Hilal Syawal Tahun 1447H/2026M di Balai Cerap Al-Biruni di sini, pada Khamis.
![]() |
| Arifin (belakang, tiga dari kanan) bergambar kenangan sebelum proses menandatangani dokumen laporan hilal. |
Tambah beliau, Aidilfitri juga perlu dimanfaatkan sebagai ruang untuk saling bermaafan serta mengeratkan hubungan silaturahim sesama insan.
Dalam pada itu, orang ramai diingatkan agar tidak melakukan perkara yang bercanggah dengan nilai-nilai agama dan perlu mengamalkan nilai kesederhanaan seperti berjimat cermat dan berhemah perlu diamalkan dalam sambutan Aidilfitri.
“Misalnya, kita mesti melihat nilai-nilai berhemah dan berjimat sebagai antara nilai yang sangat penting di samping nilai rahmah.
"Nilai rahmah juga menuntut masyarakat untuk menyantuni golongan yang memerlukan termasuk anak yatim dan golongan miskin agar mereka turut merasai kegembiraan Aidilfitri, melalui amalan zakat fitrah" ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menasihati agar masyarakat terus mengamalkan nilai murni yang diamalkan sepanjang Ramadan dalam kehidupan seharian, khususnya ketika menyambut Aidilfitri.
Hadir sama, Pembantu Menteri di Jabatan ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih, Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya, Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Ustaz Bungsu @ Aziz Jaafar dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Awang Juri Ag Tahir,/Penerangan-





Comments
Post a Comment