Tun Musa, Hajiji Tunai Solat Aidilfitri Bersama 7,000 Jemaah
Wartawan : Idris Sani Saberun
Foto : Johny George Kimlon
KOTA KINABALU : Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menunaikan Solat Sunat Aidilfitri bersama kira-kira 7,000 jemaah di Masjid Negeri Sabah, pada Sabtu.
Tun Musa tiba seawal pukul 7.15 pagi dan disambut Hajiji bersama barisan kepimpinan negeri.
![]() |
| KETIBAAN…Hajiji (tiga dari kanan) menyambut ketibaan Tun Musa (kiri) di perkarangan Masjid Negeri Sabah. |
Solat sunat Aidilfitri diimamkan Pegawai Agama Istana Seri Kinabalu, Ustaz Zulfauzy Awang Besar sebelum disusuli khutbah bertajuk "Ibrah Ramadan: Jalan Menuju Ketaatan Berterusan" yang disampaikan Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu@Aziz Jaafar.
![]() |
| Tun Musa (depan, empat dari kanan) bersama Hajiji (depan, tiga dari kiri) serta jemaah menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri. |
Antara pengisian khutbah mengingatkan jemaah Ramadan merupakan madrasah yang mendidik jiwa, dan segala amalan kebaikan yang dilaksanakan sepanjang bulan tersebut wajar diteruskan dalam kehidupan seharian, termasuk memperbanyak ibadah, membantu sesama insan serta mengekalkan semangat perpaduan dalam masyarakat.
![]() |
| JEMAAH…Sebahagian jemaah Muslimin khusyuk menunggu pelaksanaan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri di perkarangan Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu. |
Sejurus selesai, Tun Musa dan Hajiji turut meluangkan masa bersalaman dan beramah mesra bersama para jemaah sebelum beredar pada pukul 9.10 pagi.
![]() |
| KENANGAN AIDILFITRI…Tun Musa (tengah) bersama Hajiji (empat dari kiri) serta barisan kepimpinan negeri merakam gambar kenangan selepas menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri. |
Turut hadir, anggota Jemaah Menteri Negeri antaranya Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun yang juga Menteri Kewangan Sabah; Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Hadir sama, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun; Ahli Parlimen Putatan Datuk Shahelmey Yahya, ketua-ketua jabatan serta pemimpin masyarakat. /Penerangan-





Comments
Post a Comment