Kerjasama SEDIA Dan Agensi Strategik Teroka Sumber Ekonomi Baru Sabah - Hajiji
Wartawan : Mohd Haizul Rohani
Jurufoto : Shahvian Mohd Razali
Tuaran: Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA) disarankan bekerjasama dengan agensi strategik untuk membangunkan potensi ekonomi baharu Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata kerjasama SEDIA dengan agensi strategik kerajaan seperti Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (KSTI) serta sektor swasta adalah perlu untuk membina sumber ekonomi dengan memanfaatkan sepenuhnya aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan.
"Kita mesti berupaya melakukan lonjakan paradigma dalam proses pembangunan sosio-ekonomi negeri, sudah tiba masanya Sabah mengalihkan kebergantungan kepada sumber ekonomi sedia ada seperti kelapa sawit, minyak dan gas, serta getah.
"Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), eksport utama negeri Sabah pada tahun 2022 ialah minyak kelapa sawit berjumlah RM21.1 billion; manakala Gas Asli Cecair atau LNG, RM5.2 billion; petroleum mentah RM30 billion; dan minyak isirung sawit RM3.1 billion, sementara barangan eksport yang lain yang merangkumi pelbagai barangan sama ada yang mentah atau yang diproses bernilai RM3.5 billion.
“Ini membuktikan bahawa kita perlu mengenal pasti pasaran yang lebih luas ke atas barangan eksport bukan komoditi dan perlu meningkatkan pengeluaran barangan bukan komoditi yang berpotensi tinggi untuk dieksport.
"Terdapat lebih dari 21 buah pusat pengajian dan penyelidikan di negeri ini, di mana hasil kajian mereka dapat kita gunakan untuk mengembangkan aktiviti hiliran di Sabah," katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga SEDIA di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah Kampung Lok Batik, pada Khamis.
Turut berlangsung, sesi penyerahan sumbangan wang tunai oleh Hajiji yang juga Pengerusi SEDIA kepada wakil 91 masjid dan surau di sekitar daerah tersebut dalam Majlis Semarak Kasih Ramadan Ketua Menteri Sabah Bersama Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Masjid Dan Surau Daerah Tuaran Tahun 1445H/2024M.
Selain itu, Hajiji menzahirkan harapan agar hasil-hasil kajian oleh SEDIA dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh agensi kerajaan yang berkepentingan dan digunakan oleh banyak pihak bukan sahaja sebagai asas untuk mengesyorkan projek-projek pembangunan tetapi sebagai rujukan untuk pelabur-pelabur dari dalam serta luar negara.
"Kajian-kajian tersebut ialah Pembangunan Semula Pelancongan di Mesilau; Pembangunan Semula Pusat Air Panas Poring, Ranau; SDC-Kajian Pembangunan Ekonomi di Sempadan Sabah; SDC-Kajian Pelan Induk Ekonomi dan Perancangan Perniagaan POIC Sandakan.
"Di samping itu, SDC-Kajian Pelan Induk dan Pelan Perniagaan untuk Zon Ekonomi Bebas, Hab Logistik dan Depot Penyimpanan Sejuk di POIC Lahad Datu dan; Kajian Pelan Induk Lembah Makanan di Pedalaman Sabah," ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri III Datuk Dr Joachim Gunsalam, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Lumai @ Bangkuai, Ketua Eksekutif SEDIA Datuk Seri Panglima Hashim Paijan, dan Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB), Datuk Jasnih Daya./Penerangan-
Comments
Post a Comment