TPNS Luluskan 500 Permohonan Siri Pertam
Wartawan :
Jurufoto :
KOTA KINABALU : Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) meluluskan 500 permohonan bagi siri pertama tahun ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kelulusan itu melibatkan peruntukan sekitar RM3 juta.
"Pada tahun lepas, kita mengeluarkan lebih kurang RM8 juta daripada tabung ini yang membantu kira-kira 8,000 pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta.
"Alhamdulillah pada hari ini, kita telah bermesyuarat dan ada lebih 500 pelajar memohon kita sudah luluskan yang menelan belanja lebih kurang RM3 juta untuk siri pertama tahun 2025 khususnya daripada golongan B40.
"Kita harap pada tahun ini akan lebih rancak lagi dan fokus kita juga adalah kepada pelajar-pelajar yang mengambil ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD).
"Mudah-mudahan tabung pendidikan ini dapat membantu Yayasan Sabah, Biasiswa Kerajaan Negeri dan dermasiswa Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) serta agensi-agensi lain.
"Ini juga merupakan harapan Ketua Menteri agar TPNS dapat menjadi pendokong kepada usaha memperkasa bidang pendidikan yang merupakan salah satu agenda utama Hala Tuju Sabah Maju Jaya iaitu modal insan dan kesejahteraan rakyat," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian TPNS kepada Anak-anak Sabah Yang Menuntut Di IPTA/S di Auditorium Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi di sini, pada Selasa.
Arifin ketika ditemui media. |
CEK CURA...Arifin (dua dari kanan) menyampaikan cek cura kepada salah seorang penerima TPNS. |
KENANGAN...Arifin (belakang, empat dari kanan) bergambar kenangan bersama penerima TPNS. |
Arifin (belakang, empat dari kanan) bergambar kenangan bersama penerima bantuan kaca mata. |
Pada majlis tersebut, seramai 30 pelajar IPTA/S menerima bantuan TPNS berjumlah RM107 ribu manakala 11 orang pelajar sekolah menengah menerima bantuan kaca mata.
Hadir sama, wakil Pengarah Yayasan Sabah, Hanafiah Diman dan wakil Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Hairudin Shamsudin.
Mengenai isu tular Pegawai Masjid Bandaraya yang menghalang pelancong mengambil gambar, Arifin yang juga Exco Agama dan Pendidikan Sabah memaklumkan beliau telah berbincang dengan jawatankuasa masjid untuk membuat garis panduan.
"Semalam, kita sudah berbincang dan kita akan buat garis panduan bukan saja untuk jawatankuasa masjid yang menyelaras tetapi juga garis panduan untuk pelancong yang datang ke masjid.
"Kedua-duanya perlu ada etika, adab dan adat, kedua-duanya perlu mematuhi garis panduan ini dan InsyaAllah kita akan tambah baik mana yang perlu," ujarnya./Penerangan-
Comments
Post a Comment