Gaji Setimpal Jadi Keutamaan Pencari Kerja di Sabah

Wartawan : Idris Sani Saberun

Foto : Johny G. Kimlon


KOTA KINABALU:  Kajian Aspirasi Pencari Kerja di Sabah yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati bahawa isu gaji dan upah menjadi keutamaan utama pencari kerja di negeri ini. 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkataseramai 1,197 responden yang ditemui menekankan kepentingan memperoleh gaji yang setimpal dengan kelayakan pendidikan dan kemahiran mereka bagi memastikan kehidupan yang lebih stabil.


Nazaria ketika membacakan teks ucapan Dr Mohd Uzir sempena Majlis Pelancaran Buku Kajian Aspirasi Pencari Kerja di Sabah di Raia Hotel pada Selasa.



"Kajian ini menunjukkan bahawa pencari kerja di Sabah mahukan gaji yang setara dengan kelayakan mereka. 

"Namun, ketidakseimbangan antara kadar upah yang ditawarkan dan kos sara hidup menyebabkan ramai tenaga mahir berhijrah ke negeri lain atau ke luar negara untuk mendapatkan peluang yang lebih baik," katanya pada Majlis Pelancaran Buku Kajian Aspirasi Pencari Kerja di Sabah di sini, pada Selasa.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Perangkawan Malaysia, Nazaria Baharudin.
 
Menurut Uzir, dapatan kajian menunjukkan bahawa sebanyak 87.6 peratus pencari kerja dengan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf memilih untuk kekal menetap di Sabah, berbanding hanya 54.4 peratus graduan Ijazah Sarjana Muda yang memilih untuk terus bekerja di negeri ini

"Ini menunjukkan kecenderungan tenaga mahir untuk berhijrah ke negeri lain, terutama bagi mendapatkan peluang pekerjaan yang menawarkan gaji lebih baik.

"Selain itu, kajian ini juga mendapati bahawa kebanyakan pencari kerja bersedia untuk berpindah ke negeri lain jika ditawarkan gaji antara RM2,000 hingga RM4,999 sebulan.

"Manakala majoriti mempertimbangkan untuk berhijrah ke luar negara apabila menerima tawaran gaji melebihi RM5,000 sebulan," jelasnya.


Tambah beliau, sebanyak 66.2 peratus rakyat Sabah yang bekerja di Semenanjung Malaysia memilih untuk terus menetap dan meneruskan kerjaya mereka, ini membuktikan bahawa faktor gaji lebih kompetitif di luar Sabah menjadi tarikan utama untuk tenaga kerja dari negeri ini.


Hanafiah menerima salah sebuah buku daripada 50 naskah buku kajian yang disampaikan oleh Nazaria untuk diagihkan kepada pihak-pihak yang berkepentingan sebagai rujukan.



"Isu gaji yang tidak sepadan dengan kelayakan menyebabkan tenaga mahir di Sabah cenderung berhijrah ke negeri lain atau luar negara.
 
"Oleh itu, kajian ini menekankan kepentingan memperkukuh pasaran buruh tempatan dengan menawarkan gaji yang lebih kompetitif agar tenaga kerja berkualiti dapat dikekalkan di negeri ini," ujar Uzir.

Jelas beliau, dapatan dari kajian tersebut pihaknya mencadangkan tiga langkah intervensi utama bagi menangani isu gaji dan ketidaksepadanan dalam pasaran buruh di Sabah.

"Antaranya melalui 'Strategi Pasaran Kerja' iaitu mengharmonikan penawaran dan permintaan tenaga kerja dengan memastikan program pendidikan dan latihan kemahiran selari dengan keperluan industri.

"Kedua 'Pengukuhan Sektor Ekonomi', dengan memperkukuhkan sektor utama seperti pertanian, perikanan, pelancongan, serta industri baharu seperti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) bagi meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat.

"Yang terakhir, 'Penambahbaikan Infrastruktur' dengan membangunkan infrastruktur fizikal dan digital, terutama di kawasan luar bandar, bagi memperluaskan akses kepada peluang pekerjaan dan latihan kemahiran," jelasnya.

Katanya, dapatan kajian itu juga selaras dengan Laporan Sosioekonomi Negeri Sabah 2023, yang menunjukkan trend migrasi tenaga kerja meningkat dari 13.1 peratus pada 2020 kepada 41.9 peratus pada 2022.

"Data ini jelas menunjukkan keperluan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dengan kadar gaji yang lebih kompetitif bagi memastikan tenaga kerja berkualiti kekal di Sabah.
 
"Tanpa inisiatif yang sesuai, negeri ini akan terus berhadapan dengan penghijrahan tenaga kerja mahir ke negeri lain atau luar negara," tambahnya lagi.

Beliau berharap agar buku hasil kajian Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) tersebut dapat menjadi rujukan penting bagi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam merangka dasar yang lebih inklusif bagi menangani isu gaji serta meningkatkan kesejahteraan tenaga kerja di Sabah.

Pada majlis tersebut seramai lapan penerima menerima salinan buku kajian tersebut yang terdiri daripada  Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah, PERKESO Sabah, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah, Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM),  Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP).

Hadir sama, Setiausaha Tetap KSTI Sabah Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim, Pengarah DOSM Sabah Muhammad Amri Idris, Timbalan Setiausaha Tetap KPLB Sabah Neldin Gimbang, Ketua Penolong Pengarah JTK Sabah Dr. Agustine Wing Ming Kong dan Timbalan Pengarah ILMIA Rahman Bee A. Mohamed Sheriff./Penerangan-


Nazaria (empat dari kanan) merakamkan gambar bersama lapan penerima 'Buku Kajian Aspirasi Pencari Kerja Di Sabah' yang mewakili agensi masing-masing.


Comments