Projek Sekolah Serudung Laut Dipercepat, KPM dan MINDEF Jalin Kerjasama

Wartawan    : Suzaima Ibrahim
Jurufoto        : 
Johny Joklis


KOTA KINABALU: Kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dijangka mempercepatkan pembinaan sekolah baharu di Serudung Laut menerusi inisiatif program Jiwa Murni.


Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata usaha itu bertujuan memastikan akses pendidikan kepada anak-anak di kawasan berkenaan dapat direalisasikan segera, selaras dengan komitmen kerajaan memperluas peluang pendidikan di kawasan pedalaman.


"Insya-Allah, kita akan pastikan projek ini berjalan lancar. Saya sudah meninjau lokasi sebelum ini dan mendapati terdapat ruang yang sesuai dan berpotensi untuk pembinaan sekolah. 


"Ini memberi makna besar kepada anak-anak di Serudung Laut untuk mendapatkan pendidikan," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penutupan Sambutan Ulang Tahun ke-69 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) peringkat kebangsaan 2025, pada Sabtu. 


 KENANGAN.. Tun Musa (duduk, tengah) bergambar kenangan pada majlis tersebut.

 PERASMIAN... Tun Musa (dua dari kanan) ketika merasmikan Perasmian Penutupan Sambutan Ulangtahun DBP Peringkat Kebangsaan 2025.

Sebahagian peserta yang hadir pada majlis tersebut.

Fadhlina mengatakan sesuatu kepada Tun Musa (dua dari kiri) ketika melawat reruai pameran.

Tun Musa (tengah) diiringi Fadlina (tiga dari kanan) dan Shahelmey (tiga dari kiri) menunjukkan buku biografi yang diterima pada majlis berkenaan.

Tun Musa (tiga dari kiri) menyampaikan cenderakenangan kepada Fadhlina ( tiga dari kanan).

KETIBAAN... Shahelmey (kanan) menyambut ketibaan Tun Musa (kiri).

Menurut Fadhlina, sementara menunggu proses pembinaan sekolah baharu, KPM telah melaksanakan Program Khas (Pro Khas) bagi menyediakan kelas pembacaan dan pengajian yang dikendalikan guru dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).


Katanya, inisiatif itu turut membolehkan pelajar dari kawasan berhampiran mengikuti sesi pembelajaran dengan harapan jumlah penyertaan akan terus meningkat dari semasa ke semasa.


Majlis tersebut dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.


Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina berkata DBP kini dalam usaha merangka standard bahasa Melayu selaras dengan kitaran kurikulum baharu KPM.


"DBP juga sedang mengusahakan pindaan akta bagi memperkukuh peranan dan fungsi institusi ini, khususnya dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu," ujarnya.


Beliau turut menegaskan kepentingan DBP dalam memelihara bahasa sukuan agar generasi akan datang dapat menghargai dan meneruskan usaha pemeliharaan bahasa warisan.


Dalam pada itu, Fadhlina merakamkan penghargaan kepada Sabah atas sumbangan besar melahirkan ramai tokoh bahasa dan sastera.


"Sabah melahirkan ramai tokoh ilmuan bahasa dan sastera yang memberi impak besar dalam perjuangan bahasa. Peranan DBP kini lebih penting dalam mendepani cabaran era teknologi dan digital, termasuk memastikan kesantunan bahasa terus terpelihara," tambahnya./Penerangan-

Comments