PRK Kinabatangan, Lamag : 151 Peti Pengundian Dihantar Seawal 3 Pagi

 Wartawan :  Deonalissa Jekee Edin
 Foto :  Norazuan  Mohd Yussof


KINABATANGAN: Sebanyak 151 peti undi membabitkan pergerakan logistik mencabar akan dihantar ke pusat mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan yang berlangsung Sabtu ini.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Dr. Eddy Syaizul Rizam Abdullah, berkata jumlah itu melibatkan 119 peti undi Parlimen Kinabatangan dan 32 peti undi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

Eddy ketika ditemui media.



"Semua peti undi akan dihantar menerusi dua fasa iaitu pergerakan awal dan pergerakan pada hari pengundian.

“Pergerakan awal membabitkan 15 pusat mengundi termasuk tiga pusat yang memerlukan pengangkutan udara manakala selebihnya menggunakan bot dan kenderaan pacuan empat roda.

Antara persiapan yang dilakukan di Pusat Penjumlahan Undi, Dewan Sri Lamag.



“Pengeluaran peti undi dijadualkan bermula hari ini dan esok,dengan pergerakan awal bermula seawal jam 3 pagi,” katanya ketika ditemui media semasa proses persiapan menjelang hari mengundi di Dewan Sri Lamag, pada Jumaat.

Menurut Eddy, kesemua peti undi akan dikeluarkan dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan sebelum dihantar ke pusat mengundi terlibat.

Antara persiapan yang dilakukan di Pusat Penjumlahan Undi, Dewan Sri Lamag.



Mengulas persiapan pusat mengundi, Eddy berkata kerja-kerja penyediaan sedang dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada Jumaat.

“Kebanyakan pusat mengundi menggunakan bangunan sekolah dan persiapan hanya dapat dilakukan selepas tamat sesi persekolahan,” ujar beliau.

Beliau memaklumkan pusat mengundi akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang manakala pusat penjumlahan rasmi undi akan bermula pada jam 5 petang dan dijangka selesai sekitar jam 10 malam./Penerangan-

Comments