IJN Perluas Perkhidmatan ke Sabah

Wartawan    : Idris Sani Saberun
Jurufoto        : 
Merusin Maruddin


 Hisham ketika menyampaikan ucapan bagi pihak IJN pada Majlis MoU antara Kumpulan Yayasan Sabah dan Institut Jantung Negara. 

KOTA KINABALU : Institut Jantung Nagara (IJN) memperluaskan perkhidmatan ke negeri Sabah bagi memperkukuh akses rawatan kardiovaskular di negeri ini.

Pengerusi IJN, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata pada tahun 2024 Malaysia mencatat lebih 17,000 kematian akibat penyakit jantung.

"Situasi ini menuntut sistem penjagaan kesihatan yang lebih responsif, inklusif dan bersepadu bagi menangani peningkatan penyakit tidak berjangkit.

"Kerjasama strategik antara IJN dengan Kumpulan Yayasan Sabah menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) merupakan langkah penting dalam memperluaskan akses rawatan berkualiti tinggi ke Sabah.

"Pembangunan (hospital) ini bukan sekadar fasiliti rawatan tetapi sebuah ekosistem kesihatan bersepadu merangkumi rawatan klinikal, latihan profesional, pendidikan serta pembangunan kepakaran tempatan.

"Kita perlu melangkaui pendekatan berpusat supaya akses kepada rawatan berkualiti tinggi dapat diperluaskan secara menyeluruh tanpa mengira lokasi geografi," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kumpulan Yayasan Sabah dan Institut Jantung Negara, pada Isnin.

Majlis pemeteraian MoU itu disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun yang juga Menteri Kewangan.


 PERSEFAHAMAN...Hajiji (tengah) dan Masidi (dua dari kiri) menyaksikan Majlis menandatangani MoU antara Kumpulan Yayasan Sabah diwakili Ghulam (tiga dari kiri) dan Jasnih (kiri) serta Institut Jantung Negara (IJN) oleh Mohamed Ezani (dua dari kanan) dan Dr. Shaiful (kanan).

KENANGAN...Mohamed Ezani (tiga dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Ghulam (dua dari kiri) sambil disaksikan Hajiji (tengah) dan Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Julita Majungki (dua dari kanan).


Hisham berkata, IJN komited berkongsi kepakaran, teknologi dan sistem klinikal bagi memastikan perkhidmatan yang dibangunkan mencapai standard tinggi serta berorientasikan keselamatan pesakit dan hasil klinikal terbaik.

Selain itu, beliau menjelaskan kolaborasi antara University College Sabah Foundation (UCSF) dan IJN University College dijangka memperkukuh pembangunan tenaga kerja kesihatan melalui pertukaran ilmu, latihan klinikal serta pembangunan program akademik yang relevan dengan keperluan industri.

"Inisiatif ini juga berpotensi menyokong pembangunan pelancongan kesihatan negara dengan IJN sebagai antara peneraju di bawah Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC), selain membuka peluang ekonomi baharu di Sabah," ujarnya.

Beliau berkata, kerjasama itu turut dilihat sebagai pelaburan jangka panjang dalam memperkukuh sistem kesihatan negara serta meningkatkan akses rawatan dan kapasiti tempatan secara menyeluruh.

Hadir sama, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Gulam Haidar Khan Bahadar; Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Jasnih Daya; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Sdn Bhd, Datuk Seri Mohamed Ezani Md Taib; Ketua Pegawai Klinikal IJN Sdn Bhd Datuk Dr Shaiful Azmi Yahaya serta Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. William Gotulis./Penerangan-

Comments

Popular posts from this blog

Kota Kinabalu Tuan Rumah SKAW Jun Ini

Kota Kinabalu Jadi Tuan Rumah ASEAN Women’s Conference 2025 Ogos Ini

FKAT Siri Ke-10 Dijangka Lebih Meriah