Penubuhan IJN Sabah Kurangkan Beban Kos, Percepat Akses Rawatan

Wartawan    : Nurfatin Mohammed Yunus
Jurufoto        : Merusin Maruddin




Hajiji (tengah) menyaksikan MoU ditandatangani oleh pihak IJN dan Kumpulan Yayasan Sabah.

KOTA KINABALU : Penubuhan Hospital Institut Jantung Negara (IJN) di Sabah dapat mengurangkan beban kos perjalanan serta mempercepatkan akses rawatan.

Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn. Bhd., Datuk Jasnih Daya berkata penubuhan hospital jantung bertaraf tinggi itu turut mengurangkan kebergantungan pesakit Sabah terhadap kemudahan rawatan di luar negeri.

"Pada masa ini, sebahagian besar pesakit jantung dari Sabah masih perlu mendapatkan rawatan di Kuala Lumpur khususnya di IJN. Keadaan ini bukan sahaja melibatkan kos rawatan yang tinggi tetapi juga kos perjalanan, penginapan serta perbelanjaan sara hidup bagi pesakit dan ahli keluarga.

"Sehubungan itu, sebuah hospital khusus bagi rawatan penyakit kardiovaskular akan dibina di atas tapak seluas kira-kira 10 ekar di Likas.

"Penubuhan IJN ini sekali gus dapat mengurangkan beban kos perjalanan serta mempercepatkan akses kepada rawatan pakar.

"Usaha ini juga akan menyokong sistem kesihatan sedia ada di Sabah termasuk perkhidmatan di Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II yang kini mempunyai kapasiti terhad berbanding keperluan sebenar rakyat," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kumpulan Yayasan Sabah melalui Innoprise Corporation Sdn. Bhd. (ICSB) dan IJN, pada Isnin.

Jasnih berkata, kerjasama strategik itu turut memberi manfaat dari segi pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

Dalam majlis berkenaan, Jasnih dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar mewakili Kumpulan Yayasan Sabah manakala IJN diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Prof Datuk Seri Dr Mohammed Ezani Md Taib dan Ketua Pegawai Klinikal, Datuk Dr Shaiful Azmi Yahaya menandatangani MoU sambil disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun yang juga Menteri Kewangan.

Selain itu, turut dimeterai adalah MoU antara University College Sabah Foundation (UCSF) dan IJN University College bagi membuka peluang pembangunan tenaga kerja mahir dan profesional dalam bidang kesihatan.

Hadir sama, Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah, Datuk Julita Mojungki; Pengerusi Institut Jantung Negara Sdn. Bhd., Tan Sri Datuk Seri Noor Hisham Abdullah; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. William Gotulis dan Pengerusi Lembaga Pengarah/Lembaga Pengelola University College Sabah Foundation (UCSF), Datuk Mohd. Yaakub Johari./Penerangan-


Comments

Popular posts from this blog

Kota Kinabalu Tuan Rumah SKAW Jun Ini

Kota Kinabalu Jadi Tuan Rumah ASEAN Women’s Conference 2025 Ogos Ini

FKAT Siri Ke-10 Dijangka Lebih Meriah