Sabah Pantau Kesan Krisis Tenaga Global, Pertimbang Langkah Penjimatan

Wartawan    :Deonalissa Jekee Edin
Jurufoto        :Jeffren Malaning

 Hajiji ketika ditemui media. 

KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah memantau rapi perkembangan krisis tenaga dan ekonomi yang dijangka memberi kesan kepada banyak negara termasuk Malaysia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pada Khamis lalu, satu mesyuarat khas diadakan melibatkan Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri bagi memberi taklimat mengenai masalah yang dihadapi bukan sahaja Malaysia tetapi kebanyakan negara di dunia susulan perang yang berlaku di Iran. 

"Kita menghadapi beberapa krisis tenaga terutama di beberapa negara dan juga krisis ekonomi kenaikan harga minyak dan barang termasuk Malaysia. 

"Jadi, kita diminta memantau keadaan ini dan mengambil langkah-langkah yang sepatutnya bagi menghadapi situasi ini.

"Di peringkat persekutuan, arahan diberikan agar sebahagian penjawat awam mungkin bekerja dari rumah bermula 15 April sebagai langkah penjimatan bukan sahaja tenaga tetapi perbelanjaan. 

"Ini satu perkara yang harus diberi tumpuan bukan sahaja oleh kerajaan tetapi juga rakyat kerana walaupun krisis ini berlaku di Timur Tengah tetapi kesannya kepada keadaan ekonomi dan krisis tenaga dirasai seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ketua Menteri Bersama Media, pada Sabtu.

SWAFOTO...Para pengamal media mengambil peluang berswafoto bersama Hajiji (tengah).

 Antara pengamal media yang hadir.

KENANGAN...Hajiji bergambar kenangan bersama para pengamal media yang hadir.


 Antara pengamal media yang hadir.

Hajiji (kiri) bersalaman dengan pengamal media.



Mengulas mengenai subsidi diesel, beliau menjelaskan Sabah masih berada dalam kedudukan stabil dari segi bekalan elektrik dengan kapasiti kira-kira 1,400 megawatt. 

“Daripada jumlah itu, sekitar 1,100 megawatt adalah berasaskan bekalan gas daripada Petronas terus ke Sabah, manakala selebihnya sekitar 300 megawatt bergantung kepada diesel,” ujarnya. 

Katanya, kebergantungan kepada diesel menjadi faktor yang perlu diberi perhatian kerana kenaikan harga bahan api itu boleh memberi kesan kepada negeri ini. 

"Bagaimanapun, Sabah masih menerima subsidi diesel yang sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban tersebut," jelasnya. 

Beliau menegaskan kerajaan negeri akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa sebelum sebarang keputusan lanjut diambil. 

Kira-kira 200 pengamal media di seluruh Sabah diraikan dalam majlis berkenaan.

Turut hadir, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih, Pengarah Yayasan Sabah,Datuk Ghulam Khan Bahadar, Presiden Persatuan Wartawan Sabah Mariah Doksil, Pengerusi Persatuan Wartawan Kota Kinabalu Datuk Jimmy Goh dan Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor./Penerangan-

Comments

Popular posts from this blog

Kota Kinabalu Tuan Rumah SKAW Jun Ini

Kota Kinabalu Jadi Tuan Rumah ASEAN Women’s Conference 2025 Ogos Ini

FKAT Siri Ke-10 Dijangka Lebih Meriah