Kaamatan Platform Perkukuh Perpaduan, Harmoni Masyarakat Sabah – Julita

Wartawan : Mohd Nizwan Mohd Daini

Foto : JURUFOTO KWKKR-SJ


MATUNGGONG : Sambutan Pesta Kaamatan bukan sekadar perayaan kebudayaan, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan, keharmonian dan semangat saling menghormati dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Sabah.


Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, 
Sabah antara negeri terbaik dalam mempamerkan semangat perpaduan dan keharmonian kaum di Malaysia kerana mempunyai pelbagai etnik dan budaya yang hidup bersama dalam suasana saling menghormati.


KENANGAN…Julita (lima kiri) bergambar kenangan bersama tetamu yang lain.



"Tema Pesta Kaamatan tahun ini, 'Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian', mencerminkan kekuatan rakyat Sabah yang hidup dalam suasana aman dan harmoni walaupun terdiri daripada pelbagai kaum dan budaya.

"Perpaduan merupakan asas penting yang menyatukan masyarakat serta menjadi kekuatan utama negeri itu sejak sekian lama.

"Kita harus bersyukur kerana masih mampu meraikan kepelbagaian dengan penuh hormat dan saling menghargai,” katanya ketika berucap semasa 
merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kecil Matunggong di sini, pada Sabtu.

Julita menjelaskan, Malaysia terus dikenali sebagai negara berbilang kaum yang berjaya mengekalkan keamanan dan kestabilan walaupun berdepan pelbagai cabaran semasa.

"Keadaan itu perlu terus dipelihara dengan mengambil iktibar daripada pergolakan yang pernah berlaku di beberapa negara akibat konflik dalaman dan perpecahan masyarakat.

“Kita mahu memastikan Sabah terus stabil supaya pelbagai program pembangunan, dasar ekonomi dan inisiatif untuk rakyat dapat dilaksanakan secara berkesan,” jelasnya.

Beliau berkata, antara fokus utama yang akan terus diberi perhatian termasuk pembangunan pendidikan generasi muda, menaik taraf jalan kampung dan jalan kebun serta usaha menjadikan Matunggong sebagai daerah penuh.

Menurutnya, usaha memperkasa budaya dan warisan masyarakat Rungus turut akan diperkukuh bagi memastikan identiti serta khazanah budaya tempatan terus dipelihara.


Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah Kecil Matunggong, Tinah Maralin yang juga Pengerusi Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kecil Matunggong, Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, wakil badan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin pertubuhan tempatan./Penerangan-

Julita (depan, tengah) bergambar kenangan bersama pengunjung yang hadir di acara perasmian berkenaan.


Comments