Jabatan Kehakiman Anak Negeri Sabah Ditubuhkan Tahun Ini

 Tuaran : Kerajaan negeri komited dalam menjayakan cadangan penubuhan Jabatan Kehakiman Mahkamah Anak Negeri Sabah pada tahun ini.


Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, cadangan penubuhan itu merupakan satu transformasi yang memartabatkan undang-undang adat Anak Negeri.




KENANGAN...Hajiji (depan, tengah) bergambar kenangan bersama peserta kursus.



"Kerajaan negeri amat menitikberatkan kepentingan pemerkasaan Mahkamah Anak Negeri.

"Penubuhan Jabatan Kehakiman Mahkamah Anak Negeri Sabah ini juga dapat memberikan imej yang berprestij dan berkaliber kepada Ketua-ketua adat di mahkamah.

"Selain itu, sebuah jawatankuasa khas melalui Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS) juga telah ditubuhkan bagi penggubalan, pindaan dan penyemakan enakmen dan ordinan yang berkaitan.

"Penubuhan ini adalah bagi menaiktaraf sistem kehakiman Mahkamah Anak Negeri yang setaraf dengan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Kursus Transformasi Kepimpinan Ketua-ketua Adat Cemerlang di Dewan Kebudayaan Pusat Rumpun Bajau Samah, Kg Lok Batik, pada Rabu.


Hajiji (dua dari kanan) menyampaikan sijil kepada Ketua Adat Daerah Kecil Kiulu (dua dari kiri).




Menurut Hajiji, kursus berkenaan merupakan satu langkah penting ke arah memastikan ketua-ketua adat dilengkapi dengan pengetahuan dan kefahaman untuk menghadapi cabaran baharu.

"Ketua Adat boleh memainkan peranan strategik dalam membimbing, menyokong, dan mendorong bagi pemerkasaan masyarakat tempatan sekaligus membolehkan masyarakat secara keseluruhannya menyumbang kepada agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

"Ini juga membantu memastikan Undang-undang Adat Anak Negeri sentiasa dipatuhi dan dihormati," tambahnya.


Hajiji (dua dari kanan) menyampaikan sijil kepada Ketua Adat Daerah Kecil Tamparuli (dua dari kiri).




Beliau berharap ketua-ketua adat yang menghadiri kursus berkenaan dapat mempraktikkan dapatan ilmu pengetahuan sebagai landasan memantapkan adat di tempat masing-masing.


Kursus yang berlangsung selama dua hari itu disertai 258 Ketua-ketua Adat terdiri daripada tiga Ketua Daerah, 20 Ketua Anak Negeri, 40 Wakil Ketua Anak Negeri, 194 Ketua Kampung dan seorang Ketua Masyarakat Cina mewakili empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pantai Dalit, Sulaman, Tamparuli dan Kiulu.


Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai, Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn. Bhd., Datuk Jasnih Daya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Pengerusi Sabah Electricity Sdn. Bhd., Datuk Seri Panglima Madius Tangau merangkap Ahli Parlimen Tuaran dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Majaran Osman.



✒️ Deonalissa Jekee
📷 Shahvian Mohd Razali

Comments

Popular posts from this blog

Kota Kinabalu Tuan Rumah SKAW Jun Ini

Kota Kinabalu Jadi Tuan Rumah ASEAN Women’s Conference 2025 Ogos Ini

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos