RM2.2 Juta Diluluskan Untuk Pulihara, Lindungi Warisan Budaya - Hajiji

 Wartawan : Zuraidah Ahmad
Jurufoto    : Shahvian Mohd Razali/Volintine Jiloh


Tuaran:  Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM2.2 juta bagi melaksanakan dua projek pembangunan untuk memulihara dan melindungi warisan budaya sebagai lambang ketamadunan negeri ini. 


Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata kedua-dua projek baharu yang diluluskan di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 untuk melaksanakan projek Pembangunan Sistem Pemetaan Budaya Bersepadu Negeri Sabah, manakala projek Kajian Restorasi Bangunan Pejabat Lama Pejabat Perkhidmatan Kebajikan pula membabitkan peruntukan RM200,000.

 CENDERAHATI....Hajiji menerima cenderahati daripada Japlin (kanan).



Hajiji (tengah diiringi Armizan (kanan) dan Japlin (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Mencipta Lagu Tema Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama 2024.


"Projek pemetaan ini bertujuan mentransformasikan kaedah pengurusan maklumat budaya etnik Sabah kepada sistem maklumat moden selaras dengan Pelan Pendigitalan Kerajaan.

“Kajian itu pula bakal menyaksikan pembangunan semula bangunan bersejarah - Pejabat British North Borneo Chartered Company yang ketika dahulu musnah oleh kebakaran," ujarnya.

Hajiji turut memaklumkan, bangunan itu bertujuan untuk memulihara dan melindungi tapak serta bangunan bersejarah, selain akan menjadi galeri seni budaya yang penting di Sabah, dengan kedua-dua projek baharu tersebut dipertanggungjawabkan kepada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.

Menurut beliau, kerajaan melaksanakan pelbagai usaha untuk memastikan sasaran kehadiran tiga juta pelancong ke Sabah pada tahun ini tercapai.

"Selain kesenian dan kebudayaan sebagai aset penting tarikan pelancong, pelancongan berasaskan komuniti juga merupakan segmen ekopelancongan yang semakin mendapat perhatian daripada pelbagai lapisan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa.

"Oleh itu, kita menggesa kepada 100 persatuan etnik di negeri ini agar terus membangun dan memartabatkan budaya etnik serta produk pelancongan berasaskan komuniti di kawasan masing-masing seterusnya bekerjasama memperkasa keistimewaan serta keunikan warisan budaya Sabah," katanya ketika berucap merasmikan Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama 2024 di Dewan Pusat Kebudayaan Kampung Lok Batik dekat sini, pada Rabu.

Mengulas mengenai festival yang berlangsung sejak Ahad lepas, Hajiji yang juga Presiden Persatuan Rumpun Bajausama Sabah berharap ia mampu menjadi medan untuk memulihara khazanah budaya di negeri itu, selain medium menarik minat generasi muda untuk terlibat dalam pelbagai acara kesenian dan kebudayaan etnik tersebut.

"Ia juga sejajar dengan objektif penganjuran festival ini iaitu untuk memulihara dan memartabatkan budaya tradisi serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat.

"Festival ini yang telah pun dimasukkan ke dalam kalender pelancongan, tidak hanya dihadiri oleh rumpun Bajausama malah turut dimeriahkan oleh semua lapisan masyarakat berbilang kaum dan keturunan di negeri ini," katanya.

Persembahan artis jemputan, Datin Saadiah Abdul Rashad.


Para penari mempersembahkan tarian tradisional rumpun Bajausama.


Tambahnya, festival itu juga merupakan medium yang dapat menarik minat generasi muda terlibat sama dalam pelbagai acara keseniaan dan kebudayaan rumpun Bajausama di negeri ini.  

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan serta Naib Presiden I Persatuan Rumpun Bajausama Sabah, Datuk Japlin Akim.-Penerangan


Comments

Popular posts from this blog

Pekan Kecil Mengkabong Dibina Tahun Ini

SK Mutiara Wakili Malaysia Ke Dance World Cup 2024

Hasil BIGC 2024 Diteliti, Dibawa Ke Kabinet Negeri