USIA Jadikan Aset Lama Bangunan Bernilai Sejarah
Wartawan : Bustan Made Aming
Jurufoto : Merusin Minuddin
Kota Kinabalu : Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) akan membangunkan semula bangunan lama pertubuhan tersebut sebagai bangunan yang mempunyai nilai sejarah memandangkan ianya telah didirikan sejak tahun 70-an.
Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad berkata, langkah itu merupakan antara pelan strategik pembangunan dan pengurusan aset-aset USIA yang terbengkalai bagi pembugaran semula peranan, fungsi serta imejnya yang telah bertapak lebih 55 tahun di negeri ini.
“Peruntukan telah ada diberikan oleh Ketua Menteri dan InsyaAllah pada tahun ini kita akan bangunkan dengan kadar segera (bangunan lama USIA).
“Peruntukan itu juga saya tidak dapat umum berapa jumlahnya tapi sebagai asas ada untuk memulakan dan kita akan laksanakan tahun ini meskipun sudah tertangguh dua tahun,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Sentuhan Kasih Ramadan anjuran Wanita USIA di Menara USIA.
Pada majlis anjuran Pertubuhan Wanita USIA tersebut, Sapawi turut menyampaikan sumbangan USIA kepada 35 golongan asnaf yang terdiri daripada anak-anak yatim dan ibu tunggal dari Kota Kinabalu, Tambunan, Penampang , Beaufort serta Kota Belud.
Sapawi (kanan) menghulurkan sumbangan USIA kepada golongan asnaf. |
Di samping itu, Sapawi memaklumkan pusat latihan dakwah yang terbengkalai sejak tujuh tahun lalu kini telah siap dan USIA dalam proses kolaborasi dengan Institut Kemahiran Islam Malaysia (IKIM) bagi mengendalikan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"USIA juga dalam proses pembangunan semula tanah USIA seluas 12 ekar di Semporna untuk tujuan pelancongan, pusat pembangunan komuniti setempat sebagai sumbangan dan sokongan kepada program Sabah Maju Jaya(SMJ).
Sementara itu, Ketua Wanita USIA, Datuk Siti Aminah Aching berkata persatuan turut sama merancang pelbagai program untuk meningkatkan ekonomi wanita USIA.
"Program yang akan kita laksanakan dalam masa terdekat antaranya ialah menjelajah ke semua bahagian untuk pengukuhan ukhwah selain mengadakan program dan kursus-kursus yang boleh menjana ekonomi.
"Kita akan membawa wanita-wanita ini mengikuti kursus usahawan supaya mereka dapat menjana pendapatan selain mampu membantu meningkatkan pendapatan keluarga masing-masing," katanya.
Sepanjang Ramadan, ketua-ketua wanita USIA di bahagian turut terlibat dengan program-program keagamaan seperti Khatam Al-Quran, bertadarus dan berbuka puasa./Penerangan-
Comments
Post a Comment