Budaya Penyelidikan, Inovasi Membentuk Modal Insan Berkualiti
Wartawan : Bustan Made Aming
Jurufoto : Mohd Sazwan Roslan
Kota Kinabalu: Budaya penyelidikan dan inovasi mampu membentuk modal insan berkualiti seterusnya penciptaan harta intelek.
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Ariffin Mohd Arif berkata untuk menjadi negara maju, universiti berperanan untuk membentuk modal insan yang berkualiti serta berusaha menghasilkan harta intelek yang bermutu tinggi melalui aktiviti penyelidikan dan inovasi.
| Arifin (tiga kanan) merasmikan Majlis EXCOXIPTA 2024 disaksikan Kasim (dua kiri) dan Jidon (dua kanan). |
| Geran Padanan dari syarikat Juta Kaya diberikan kepada UMS disaksikan oleh Arifin (tiga kanan). |
| Arifin (tiga kiri) meluangkan masa melawat Booth yang turut mempemer hasil reka cipta pada majlis tersebut. |
"Dalam konteks sebuah negara yang beraspirasi untuk menjadi negara maju, universiti bukan sahaja berperanan untuk menghasilkan modal insan yang berkualiti tetapi perlu juga berperanan untuk menghasilkan harta intelek yang bermutu tinggi melalui aktiviti penyelidikan dan inovasi.
"Bersesuaian dengan objektif majlis kita pada pagi ini, saya menyeru agar budaya penyelidikan dan inovasi terus diterapkan oleh seluruh warga universiti bagi memastikan Universiti Malaysia Sabah (UMS) sentiasa menjadi rujukan dan dihormati di dalam dan luar negara.
"Saya tertarik dengan kategori STEMQuest Ignite yang melibatkan penyertaan daripada pelajar-pelajar sekolah, kerana sepanjang tahun 2024 ini, Kerajaan Negeri Sabah sendiri berhasrat untuk turun padang secara proaktif ke sekolah-sekolah di Negeri Sabah bagi memberi galakan dan bantuan pendidikan yang berjumlah RM44 juta yang diselaraskan melalui pejabat Tugas-Tugas Khas dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri.
"Justeru, dalam usaha untuk menyuburkan budaya penyelidikan dan inovasi, pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menyediakan Public-Private Research Network atau Jaringan Penyelidikan Awam-Swasta (PPRN), sebuah inisiatif inovatif bagi menggalakkan program inovasi yang berasaskan permintaan dalam memacu peningkatan produktiviti serta mengukuhkan pembangunan ekonomi Malaysia.
"Dengan adanya inisiatif ini, semoga universiti dapat memperkasa hubungan jaringan awam swasta melalui penyediaan penyelesaian daripada universiti kepada industri, meningkatkan produktiviti melalui inovasi atau teknologi yang bersesuaian, dan menggalakkan penyertaan pensyarah atau penyelidik untuk memberikan penyelesaian berasaskan permintaan industri, "katanya ketika berucap merasmikan Majlis EXCOCIPTA 2024 di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Arifin turut meluahkan rasa bangga dengan pencapaian pihak UMS kerana berjaya menghasilkan pelbagai produk bermutu yang mampu bersaing dengan produk-produk yang ada di Malaysia mahupun peringkat antarabangsa.
"Saya turut berbangga dengan pencapaian para penyelidik yang menghasilkan penyelidikan yang bermutu seterusnya berjaya mengkomersialkan hasil penyelidikan mereka.
"Saya dimaklumkan, tiga produk UMS terkini yang telah berjaya dikomersialkan pada bulan Mac 2024 yang lalu adalah PhospaTania, sejenis bahan aditif mesra alam untuk memadamkan kebakaran yang telah dihasilkan oleh ChM. Ts. Dr Zuhair Jamain dan Prof Madya ChM. Dr. Moh Pak Yan dari Fakulti Sains dan Sumber Alam, Vivify iaitu produk kosmetik yang bersifat organik dan selamat oleh Prof. Dr. Shafiquzzaman Siddiquee dari Institut Penyelidikan Bioteknologi dan A-Yamli, makanan ayam dengan campuran tongkat ali oleh Ag. Ahmad Mohd Yunus dari Fakulti Perhutanan Tropika.
| Arifin (tengah) menerima cenderamata yang disampaikan oleh Kasim (kiri) |
| Arifin (tengah) menerima cenderamata yang disampaikan oleh Kasim (kiri) |
| Arifin (kanan) melihat hasil inovasi dan rekacipta pada majlis tersebut. |
"Saya juga dimaklumkan,UMS telah memperuntukkan kira-kira RM1.15 juta setahun untuk pengurusan inovasi meliputi Skim Geran Inovasi, paten, technology licensing, technology acquiring, IPR, dan aktiviti-aktiviti pengkomersialan, usaha penawaran geran ini mesti diteruskan malah dipergiatkan lagi untuk meningkatkan produk inovasi UMS yang mampu bersaing dengan produk-produk yang ada di pasaran Malaysia mahupun antarabangsa," jelas beliau.
Turut hadir Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr Rosalam Sarbatly serta Pengarah Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan Merangkap Jawatankuasa Penganjur EXCOCIPTA 2024, Profesor Madya Dr, Jidon @ Adrian Janaun./Penerangan-
Comments
Post a Comment