JUM Bantu Usahawan Muda Membakut Tahun Depan - Arifin

 Wartawan            : Zuraidah Ahmad

Jurufoto                : Johny George Kimlon


MEMBAKUT:   Jaringan Usahawan Muda Membakut (JUM) akan membantu golongan usahawan di kawasan terbabit muda mulai tahun depan. 


Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata inisiatif di bawah Pejabat ADUN Membakut dengan kerjasama UPPM Membakut itu sedang mengenal pasti serta mengumpul maklumat yang berkaitan. 

KENANGAN...Arifin (dua dari kiri, duduk) dan Azrul (dua dari kanan, duduk) bergambar kenangan bersama para penerima bantuan Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) Membakut.


"Kita sudah mewujudkan Jaringan Usahawan Muda Membakut (JUM) dan ini akan diselaras oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk mengenal pasti usahawan-usahawan muda yang perlu dibantu. 


"Itulah sebabnya kita akan kumpul data mereka termasuk jenis perniagaan mereka dan perkara-perkara yang boleh memberikan kita mengumpul mereka dan mendengar apa keperluan mereka, apa yang perlu kita bantu dari mereka," dedah beliau.

Arifin ketika berucap merasmikan Program Outreach Ketua Menteri Bersama NGO di bawah Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) 2024.

Mengulas mengenai bantuan RM500 di bawah Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) kepada 100 usahawan muda di Membakut, Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut menjelaskan pihaknya bersama IKRAR komited memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh Ketua Menteri Sabah.

Pengarah IKRAR, Jabatan Ketua Menteri, Azrul Ibrahim ketika ditemui media.


"Saya dapati ada usahawan muda kita yang mendapat pendapatan yang agak bagus, baik dan perniagaan mereka pun mendapat tempat dalam kalangan para pelanggan dan ini juga antara yang perlu kita bantu.


"Saya lihat tadi mereka sangat bersemangat dan saya bersama dengan IKRAR akan memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh Maklumat Ketua Menteri untuk usahawan di kawasan Membakut ini. 


"Mereka ini berniaga ada yang di gerai-gerai, ada yang online dan ada yang di kedai. Ada yang disediakan di Anjung Wawasan yang dulu kita sediakan semasa saya jadi Pengerusi SEDCO, kemudian di Serambi Wawasan juga disediakan oleh SEDCO dulu tapi lebih ramai di gerai-gerai biasa, ada kanopi dan ada yang online," katanya kepada media selepas menyempurnakan Program Outreach Ketua Menteri Bersama NGO di bawah Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) 2024 di sini, pada Ahad.


Asmadi menerima bantuan SYABAS yang disampaikan oleh Arifin (dua dari kanan).

Dalam majlis tersebut, Arifin diiringi Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), Jabatan Ketua Menteri, Azrul Ibrahim menyampaikan bantuan RM500 kepada 100 usahawan Muda Membakut.


Sementara itu, Azrul memaklumkan setakat ini, seramai 4,500 peniaga muda sudah disantuni di seluruh Sabah dan berbaki 500 orang lagi melibatkan usahawan di beberapa kawasan pedalaman seperti Sugut, Tenom dan Nabawan.

Arifin (kanan) menyampaikan bantuan SYABAS kepada Hibanah Syazwani, sambil diperhatikan oleh Azrul (tengah).

"Program ini kita kenal pasti melalui pemimpin-pemimpin setempat dan dengan bantuan rakan strategik kita iaitu Badan Bukan Kerajaan (NGO).


"Tahun depan, Ketua Menteri minta IKRAR untuk melaksanakan program ini pada skala yang lebih baik, pada skala yang lebih besar melibatkan peniaga-peniaga di kampung-kampung, di ceruk-ceruk pedalaman. 


Arifin (tengah) dan Azrul mendengar masalah salah seorang usahawan muda.


"Untuk baki 500 orang, kita usahakan untuk selesaikan tahun ini kalau tak sempat, kita selesaikan awal tahun depan," tambah beliau.


Bagi usahawan takoyaki dan kuih muih, Hibanah Syazwani Hibatur Rahman, 27, dari Kg Binsulok, bantuan yang diterimanya amat membantu perniagaan yang diusahakannya bersama suami sejak enam tahun lalu.


Arifin ketika bercakap kepada media.


"Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi sumbangan ini dan membantu perniagaan kami dan membuat pusingan modal untuk masa akan datang," kata Hibanah Syazwani yang juga ibu kepada dua anak.


Nada sama turut diluahkan oleh usahawan minuman, Asmadi Olah, 31 yang berniaga tiga jenis air balang sejak 2018 untuk menyara keluarganya.


"Saya berniaga di tamu, tapi kalau hari biasa saya menjual air balang di tepi Jalan Kampung Mandangin sawah padi.


"Tentang bantuan ini saya berterima kasih kepada Ketua Menteri Sabah kerana membantu kami peniaga kecil ini di bawah program SYABAS, sekurang-kurangnya dapat membantu kami dalam perniagaan kecil kami rolling modal dalam perniagaan," ujarnya./Penerangan-

Comments

Popular posts from this blog

Kota Kinabalu Tuan Rumah SKAW Jun Ini

Kota Kinabalu Jadi Tuan Rumah ASEAN Women’s Conference 2025 Ogos Ini

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos