Kerajaan Negeri, Persekutuan Terus Kerjasama Tingkatkan Prestasi Bekalan Elektrik

 Wartawan        :  Deonalissa Jekee Edin

Jurufoto            :  Merusin Minuddin & Shahvian Mohd Razali


TUARAN : Kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan persekutuan dalam melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan prestasi bekalan elektrik di negeri ini. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, ini termasuk inisiatif yang dirangka berdasarkan kuasa kawal selia oleh Energy Commission of Sabah (ECoS) dalam Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040).

Shahelmey ketika menyampaikan ucapan. 

“Walaupun kuasa kawal selia bekalan elektrik Sabah telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri, saya berharap agar kerjasama di antara kedua-dua pihak tetap utuh dengan menunjukkan kesepakatan dan komitmen yang tinggi bagi memberikan kemudahan terbaik kepada rakyat. 

"Usaha yang dilaksanakan di peringkat kerajaan negeri antaranya adalah pengecualian surcaj Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi tempoh enam bulan bermula 1 Januari sehingga Jun 2025.

Shahelmey (dua dari kanan) bersama Fadillah (kanan) menggaul Yee Sang.

“Subsidi sebanyak RM50.9 juta diperuntukkan kepada pengguna domestik yang layak dan pengguna bukan domestik dalam kategori tarif voltan rendah yang terdiri juga dari golongan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). 

“Faktor utama masalah bekalan elektrik di negeri ini tidak hanya berkaitan dengan masalah kekurangan kapasiti penjanaan tetapi ditambah dengan kenaikan beban pengguna akibat pertumbuhan ekonomi yang pesat.

CENDERAMATA...Shahelmey (dua dari kanan) menerima cenderamata daripada Madius (tiga dari kiri).

“Justeru, kerajaan negeri akan memberikan fokus kepada usaha memastikan Pelan Pembangunan Penjanaan jangka pendek berjaya dilaksanakan bagi mencapai jidar simpanan kapasiti penjanaan ke tahap 30 peratus,” katanya sempena Program Sabah Electricity bersama Komuniti, Rumah Terbuka Krismas 2024 dan Tahun Baharu 2025 di Dewan Seri Sulaman, pada Ahad.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya. 

Shahelmey (empat dari kiri) toba di perkarangan Dewan Seri Sulaman disambut oleh tarian singa.

Beliau berkata, bagi memastikan kejayaan ini dan menambah baik situasi bekalan elektrik di Sabah, Kerajaan Negeri melalui ECoS akan terus bekerjasama dengan Sabah Electricity dalam memudah cara dan memberikan sokongan bagi melaksanakan Pelan Transformasi Sabah Electricity.

Sementara itu, beliau berharap sempena majlis berkenaan, persaudaraan, perpaduan dan keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama khususnya di Sabah menjadi lebih rapat. 

CEK CURA...Shahelmey (dua dari kanan) menerima cek cura sumbangan Sabah Electricity kepada Tabung Pendidikan Negeri Sabah berjumlah RM100 ribu daripada Madius (dua dari kiri).

“Sebagai sebuah negeri yang berbilang kaum, kita amat bertuah kerana dapat menyambut pelbagai perayaan yang ada di negara ini.

“Krismas yang baru dirayakan oleh masyarakat Kristian pada bulan Disember lalu, manakala Tahun Baharu Cina yang akan disambut masyarakat Tionghua dalam beberapa hari lagi, menunjukkan betapa negara ini menghargai dan menghormati setiap perayaan yang ada di negara ini,” katanya.

Beliau turut berharap agar amalan berkongsi perayaan dan menghormati perayaan kaum-kaum lain serta tradisi kunjung mengunjung di musim perayaan ini perlu diteruskan supaya kekal menjadi identiti masyarakat Malaysia yang unik lagi harmoni.

Majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof itu turut dihadiri Pengerusi Sabah Electricity, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Richard Yong We Kong, dan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai./Penerangan

Comments

Popular posts from this blog

Kota Kinabalu Tuan Rumah SKAW Jun Ini

Kota Kinabalu Jadi Tuan Rumah ASEAN Women’s Conference 2025 Ogos Ini

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos