Pemasyhuran Canselor UMS Baharu Selepas Aidilfitri
Wartawan : Siscalistorina Janius
Jurufoto : Merusin Minuddin
KOTA KINABALU: Pemasyhuran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman sebagai Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang baharu akan diadakan selepas Sambutan Aidilfitri ini.
Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan berkata perlantikan tersebut secara tradisinya selepas Tun Musa dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah.
"Selepas Hari Raya nanti, pemasyhuran Tun Musa sebagai Canselor UMS yang keempat akan dilaksanakan dan kita akan mengadakan satu program dan acara yang gilang-gemilang untuk meraihkannya.
"Di Sabah secara tradisinya, Tuan Yang Terutama Tun adalah Canselor UMS yang turut memberikan reputasi yang baik bagi UMS dan juga mengangkat martabat Tun Musa sebagai ketua negeri, menjadi payung dan sebagai seorang yang boleh memberikan bimbingan terhadap perkembangan UMS.
"Di samping itu, saya percaya beliau mampu membantu UMS mencapai prestasi yang lebih baik di masa yang akan datang," katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Tun Musa di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.
Menurut Abdul Rahman, kunjungan hormat berkenaan bertujuan untuk memaklumkan kepada Tun Musa berkenaan proses pelantikan sebagai Canselor serta permahsyuran.
Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor menjelaskan pelbagai perancangan dilakukan oleh UMS pada tahun ini dan berhasrat untuk menubuhkan program baharu, fakulti Seni Bina yang akan ditawarkan pada September depan.
"UMS juga merancang untuk membuka program veterinary disebabkan kekurangan ahli-ahli di Sabah.
"Di samping itu, kita berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam mendapatkan beberapa tanah untuk kita majukan dalam agenda keterjaminan makanan yang dikendalikan oleh Fakulti Pertanian Lestari dan Institut Penyelidikan Marin Borneo, pada tahun ini kita akan komersialkan produk-produk marin," ujar beliau
Tambahnya, UMS telah dianugerahkan sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang marine borneo dan pada tahun ini kita akan mula komersialkan hasil-hasil pendidikan di Institut Penyelidikan Marin Borneo pada tahun lepas./Penerangan
Comments
Post a Comment