Sabah Tuan Rumah IUYLAP 2025 September Ini
Wartawan : Idris Sani Saberun
Jurufoto : Mohd Rizal Matasan
KOTA KINABALU: Sabah akan menjadi tuan rumah International Union Youth Leader Apprentice Programme 2025 (IUYLAP 2025) pada September ini.
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) Malaysia, Mohd Asri Abdul Wahab, berkata IUYLAP 2025 dianjurkan dengan kerjasama Sabah Medical Services Union dan dijangka menjadi platform penting memperkasakan kepimpinan belia dalam dunia kesatuan sekerja.
"Program perhimpunan pemimpin belia kesatuan sekerja dari negara-negara ASEAN ini akan menghimpunkan 200 peserta termasuk 20 wakil dari Singapura, Thailand, Filipina dan Indonesia serta 10 wakil dari setiap negeri di Malaysia dengan penyertaan lebih ramai dari Sabah.
"Tujuannya menjalin kerjasama antara kesatuan sekerja di peringkat ASEAN bagi berkongsi strategi kepimpinan belia serta amalan terbaik dalam meningkatkan kesedaran tentang hak pekerja.
"IUYLAP 2025 juga menggalakkan pertukaran idea antara pemimpin belia daripada pelbagai sektor dan industri untuk memperkukuh peranan kesatuan sekerja dalam memperjuangkan keadilan sosial," katanya selepas kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.
![]() |
Mohd Asri (tiga dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Tun Musa. |
![]() |
Shuhaida (tiga dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Tun Musa. |
![]() |
Tun Musa menyampaikan cenderamata balas kepada Mohd Asri (empat dari kiri). |
![]() |
Mohd Asri (kiri) ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Tun Musa. |
Dalam kunjungan tersebut, Mohd Asri bersama Pengarah Jabatan Perhubungan dan Perusahaan Sabah, Shuhaida Kassim memaklumkan Tun Musa tentang fungsi serta peranan jabatan masing-masing dalam membantu pekerja, majikan dan kesatuan sekerja.
Shuhaida pula menjelaskan jabatannya bertindak sebagai orang tengah dalam memastikan hubungan baik antara majikan dan pekerja.
"Kami akan menganjurkan forum khas mengenai keharmonian tempat kerja pada 23 April ini di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu dan akan menghimpunkan 100 majikan dan wakil kesatuan sekerja.
"Perkara yang akan dibincangkan antaranya ialah Industrial Harmony Index (IHI), sistem pengukuran keharmonian industri, serta Productivity-Linked Wage System (PLWS) yang menetapkan gaji berdasarkan produktiviti pekerja,” ujarnya.
Selain itu, sempena Hari Pekerja pada 1 Mei, pihaknya akan menganjurkan sesi Pocket Talk bagi meningkatkan kesedaran mengenai hak pekerja manakala program fun run melibatkan ahli kesatuan serta orang awam bagi mempromosikan kepentingan menyertai kesatuan sekerja pada 13 April ini.
Dengan pelbagai inisiatif yang dirancang sepanjang tahun ini, kedua-dua jabatan optimis dapat memperkukuh peranan kesatuan sekerja serta meningkatkan kesejahteraan pekerja dan keharmonian hubungan industri di Sabah.
Turut menyertai kunjungan hormat tersebut ialah Pengarah JHEKS Sabah Noraini Ithnin./Penerangan-
Comments
Post a Comment