Sukan Permotoran Perlu Patuhi Seksyen 33, 36 Akta Pembangunan Sukan 1997

Wartawan     : Hamidah Len
Jurufoto        : 
Shahvian Mohd Razali/Vicky Sylvester Matanjang


KOTA KINABALU:Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) memberikan perhatian khusus terhadap pematuhan Seksyen 33 dan 36 Akta Pembangunan Sukan 1997 dalam penganjuran aktiviti sukan permotoran. 


Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Suhardi Alias, berkata pihaknya mengadakan perbincangan bersama persatuan-persatuan penggiat sukan permotoran bagi membantu memperkukuhkan tadbir urus sukan tersebut serta menyemarakkan lagi perkembangannya di negeri ini.


"Selain itu, satu gerak kerja akan dirangka bagi memastikan bahawa sukan ini dapat disatukan sebagai satu entiti yang mampu mewakili sukan permotoran di Sabah.


"Kita juga mempertimbangkan pandangan dan garis panduan yang telah dikemukakan oleh Persatuan Automobil Malaysia (MAM).


"Mereka telah memberikan satu panduan serta kerjasama yang amat baik untuk memastikan aspek keselamatan bagi peserta, pengunjung, penonton serta mereka yang terlibat dalam penganjuran pertandingan permotoran akan dititikberatkan menerusi garis panduan baharu ini.


"Garis panduan ini akan membantu mengurangkan risiko tragedi dan kemalangan akibat ketidakpatuhan terhadap peraturan yang telah ditetapkan oleh MAM dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA)," katanya.


Beliau berkata demikian semasa Sesi Taklimat Libat Urus Penganjuran dan Pelesenan Sukan Bermotor anjuran PJS dan MAM, pada Khamis di Kompleks Belia dan Sukan Sabah.


 Suhardi (tengah) bersama pegawai MAM, Rhiza (kiri) dan Neethiananthan (kanan).

Situasi ketika sesi libat urus.

Suhardi ketika sesi libat urus sukan permotoran.

Suhardi ketika sesi libat urus sukan permotoran.


Suhardi turut memaklumkan bahawa PJS dan MAM akan berusaha mewujudkan jaringan komunikasi dengan semua penggiat sukan permotoran negeri Sabah.


"Tujuannya adalah supaya semua permohonan, permintaan dan juga idea-idea baru termasuk penyertaan pertandingan peserta antarabangsa dapat dikemaskinikan dan diperkemaskan.


"Selain itu, agar dapat mengelakkan tragedi atau kemalangan yang mungkin berlaku akibat kegagalan mematuhi garis panduan dan peraturan yang telah ditetapkan oleh MAM dan FIA.


"Ini merupakan satu langkah yang saya percaya akan memberikan nafas baharu kepada pergerakan sukan permotoran di negeri Sabah," tambahnya.


Pihak penganjur turut membincangkan garis panduan yang telah dikemukakan oleh MAM termasuk aspek keselamatan, bayaran sanction fees dan keselamatan litar sukan permotoran pada sesi libat urus yang dihadiri oleh 70 penggiat sukan permotoran itu.


Sesi tersebut diharap menjadi titik tolak rejuvenasi sukan permotoran di Sabah dan membawa transformasi positif kepada semua pihak yang terlibat.


Hadir sama, Timbalan Presiden MAM Datuk Mohammed Rhiza Ghazi dan Setiausaha Agung MAM, Neethiananthan R K Shunmugam./Penerangan-

Comments

Popular posts from this blog

Pekan Kecil Mengkabong Dibina Tahun Ini

SK Mutiara Wakili Malaysia Ke Dance World Cup 2024

Hasil BIGC 2024 Diteliti, Dibawa Ke Kabinet Negeri