Guru Perlu Kuasai Teknologi, Cipta Inovasi Dalam Pengajaran – Arifin

 Wartawan :  Suzaima Ibrahim
 Foto :  Marusin Minuddin


KOTA KINABALU: Guru perlu terus berinovasi dan menyesuaikan diri dengan perubahan dunia pendidikan terutama dalam era digital bagi memastikan pengajaran kekal relevan dan berkesan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, perubahan pesat teknologi menuntut guru bukan hanya menguasai silibus, tetapi juga mencipta suasana pembelajaran yang interaktif, kreatif dan bermakna.

ANUGERAH...Ruslan (tengah) menyampaikan Anugerah Pengurusan sekolah Terbaik kepada pengetua SMAN Toh Puan Hjh Rahmah (tiga dari kanan).


“Saya mengajak semua guru untuk beradaptasi dengan cabaran semasa dan menjadikan pengajaran satu pengalaman yang menyeronokkan serta membina pemikiran kritis dalam kalangan pelajar.

“Pendidik masa kini perlu bijak memanfaatkan teknologi digital. Kita mahu lahirkan generasi yang bukan sahaja celik ilmu, tetapi juga inovatif dan kreatif,” katanya.


PENGHARGAAN... Sejumlah 29 warga pendidik yang menerima anugerah masing-masing.


Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Ruslan Muharram, ketika merasmikan Sambutan Hari Guru Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) peringkat negeri di Wisma MUIS,pada Rabu.

Mohd Arifin yang juga Exco Agama dan Pendidikan negeri berkata pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) wajar diberi penekanan lebih dalam sistem pendidikan bagi melahirkan tenaga mahir yang mampu menerajui pembangunan negara masa hadapan.

Ruslan (dua dari kanan) diiringi Jumain (empat dari kiri) ketika melawat reruai pameran.


“Saya berharap guru Sains dan Matematik terus bersemangat dan kreatif dalam menyampaikan ilmu. Mereka adalah pemangkin kepada pembangunan dan kemajuan teknologi negara,” ujarnya.

Beliau turut menekankan kepentingan pembentukan sahsiah pelajar yang seimbang dengan menyarankan guru menjadi contoh terbaik dalam menerapkan nilai-nilai murni dalam proses pengajaran.

KENANGAN...Ruslan (duduk, tengah) ketika sesi bergambar bersama warga pendidik yang hadir.


“Pendidikan bukan semata-mata soal akademik, tetapi juga membentuk keperibadian pelajar. Guru berperanan penting dalam membina generasi yang bertanggungjawab dan berakhlak,” tambahnya.

Sementara itu, Ruslan dalam sidang media berkata, kreativiti guru dalam bidang teknologi dan inovasi, termasuk Artificial Intelligence (AI), perlu diperkembangkan sebagai sebahagian daripada pengajaran semasa.

Ruslan ketika ditemui media.

“Kita lihat sendiri guru berjaya hasilkan inovasi berasaskan teknologi walaupun dengan kemudahan terhad. Ini menunjukkan potensi besar jika kerajaan dapat sediakan fasiliti dan dana yang mencukupi.

“AI kini menjadi sebahagian penting dalam kehidupan. Kita mahu guru turut memanfaatkan teknologi ini supaya pelajar lebih awal didedahkan dan mampu cipta inovasi sendiri,” jelasnya.

Pada majlis itu, seramai 29 pendidik menerima anugerah dalam pelbagai kategori termasuk Anugerah Khas Peningkatan Gred Purata Mata Pelajaran, Anugerah Inovasi Pendigitalan, Anugerah Guru Harapan dan Anugerah Pengurusan Sekolah Terbaik./Penerangan-


Comments

Popular posts from this blog

Kota Kinabalu Tuan Rumah SKAW Jun Ini

Kota Kinabalu Jadi Tuan Rumah ASEAN Women’s Conference 2025 Ogos Ini

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos