Persidangan ARISE'25 Buktikan Inovasi, Penyelidikan Rentas Pelbagai Ilmu
Wartawan : Zuraidah Ahmad
Foto : Johny George Kimlon
KOTA KINABALU: Persidangan Penyelidikan Pendidikan Antarabangsa ARISE'25 membuktikan inovasi dan penyelidikan mampu menjadi landasan merentasi pelbagai bidang ilmu.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata menerusi persidangan tersebut inovasi praktikal seperti aplikasi untuk pendidikan khas, e-kaunseling dan reka bentuk pembelajaran interaktif dapat diketengahkan.
![]() |
| Arifin (dua dari kiri) bersama-sama Mohd Hanafiah (dua dari kanan) dan Pengarah IPG Kampus Gaya, Dr. Gerturude Jock di meja makan utama. |
"Ia bukan sekadar persidangan, tetapi juga platform kolaboratif yang menyatukan pelbagai cabang pengetahuan daripada teknologi maklumat, kecerdasan buatan, pendidikan STEM, kesihatan digital, pendidikan inklusif, hingga seni visual dan pendidikan Islam dan Melayu.
"Apa yang lebih membanggakan ialah penglibatan para pendidik, penyelidik dan pelatih dalam mempersembahkan hasil penyelidikan mereka.
"Mereka bukan sahaja membuktikan bahawa penyelidikan boleh dilakukan di bilik darjah, malah berjaya memperlihatkan bagaimana penggunaan aplikasi digital, pembangunan e-platform dan pendekatan pedagogi baharu mampu memperkasakan pembelajaran.
"Pelatih dari institusi teknikal dan vokasional turut mengetengahkan inovasi praktikal seperti aplikasi untuk pendidikan khas, e-kaunseling dan reka bentuk pembelajaran interaktif. Ini membuktikan bahawa inovasi tidak mengenal usia atau latar belakang," ujar beliau.
Menurut Arifin, kemahiran masa depan seperti penulisan saintifik, analisis data, penggunaan AI bukan lagi pilihan tetapi keperluan dalam mentransformasi pendidikan dan merealisasikan matlamat Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
"Sepanjang persidangan ini, bengkel-bengkel yang dijalankan memberi penekanan kepada kemahiran masa depan seperti penulisan saintifik, analisis data, penggunaan AI dan sebagainya.
"Perkara-perkara ini bukan lagi satu pilihan, tetapi merupakan satu keperluan mendesak dalam landskap global yang semakin kompleks, khususnya dalam era pasca-pandemik dan Revolusi Industri 4.0.
![]() |
| KENANGAN...Arifin (tengah, depan) dan Mohd Hanafiah (empat dari kanan, depan) merakamkan foto kenangan bersama para tetamu Makan Malam Gala ARISE'25. |
"Saya yakin dan percaya bahawa dapatan dan pertukaran ilmu yang terhasil daripada persidangan ini akan memacu transformasi pendidikan yang lebih inklusif, sekaligus menyokong matlamat SMJ yang meletakkan pembangunan modal insan sebagai teras utama," katanya.
Teks ucapannya disampaikan oleh Setiausaha Tetap KSTI, Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim dalam Majlis Makan Malam Gala ARISE'25 di sini, pada Rabu.
Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan persidangan dua hari yang menghimpunkan lebih 600 peserta dari dalam dan luar negara, termasuk United Kingdom, Sepanyol, Filipina, China dan Ireland, menjadi platform penting dalam merintis kerjasama pendidikan bertaraf global./Penerangan-




Comments
Post a Comment