Amir Kahar, Nursuhadah Tokoh Maal Hijrah Sabah 1447H
Wartawan : Hamidah Len
Foto : Jefren Malaning / Mohd Rizal Matasan
KOTA KINABALU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Datuk Amir Kahar Tun Mustapha dan bekas pembaca berita, Datin Seri Panglima Nursuhadah Basah diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Sabah 1447H/2025M.
Penyampaian anugerah kepada kedua-dua tokoh tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di sini, pada Jumaat.
Amir dilahirkan pada 16 Februari 1950 mewarisi semangat juang ayahandanya, Allahyarham Tun Datu Mustapha dalam memperjuangkan nasib rakyat Sabah.
![]() |
| Tun Musa (tiga kiri) menyampaikan anugerah Tokoh Ma'al Hijrah kategori lelaki kepada Amir Kahar. |
Berbekalkan kelulusan dari London Business School dan Harvard School of Business, beliau menempatkan diri dalam arena politik negeri sebagai ADUN selama lima penggal dan Ahli Parlimen selama tiga penggal.
Puncak kerjayanya menyaksikan beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, dengan rekod cemerlang memperjuangkan pembangunan luar bandar, isu tanah rakyat serta kerjasama ekonomi serantau melalui Sabah and Palawan Co-operation Chamber of Commerce and Industry.
Dalam lapangan dakwah, beliau meneruskan pendekatan harmoni yang diwarisi, memperkukuh institusi Islam negeri dan menjadikan model dakwah Sabah lebih terbuka, ilmiah dan menyatupadukan.
![]() |
| Tun Musa (tiga kiri) menyampaikan anugerah Tokoh Ma'al Hijrah kategori wanita kepada Norsuhadah. |
Sementara itu, Datin Seri Panglima Nursuhadah Basah, lahir pada 31 Ogos 1953, memulakan langkah sebagai pembaca berita, juruhebah dan penerbit rancangan sejak 1973 hingga 1978.
Kemudian, beliau menyertai politik sebagai ADUN Dilantik dan kemudian sebagai Pembantu Menteri Kebajikan Masyarakat dan Perpaduan Negeri Sabah.
![]() |
| Tun Musa (tiga kiri) menyampaikan Anugerah Khas Al-Furqan kepada Muhammad Khayruddin Zakwan Jaimis. |
Beliau aktif dalam organisasi keagamaan wanita Islam Sabah, memimpin dan menyelaras program keagamaan, kebajikan dan pendidikan wanita.
Komitmennya turut terserlah dalam peranan sebagai Ahli Jawatankuasa MUBARAK Sabah dan Penaung Masjid Hj. Salleh Mosleh.
Sebagai wanita muslimah berkarisma, beliau mengangkat suara wanita dalam merangka dasar organisasi dan pengurusan program dakwah, mencerminkan kewibawaannya sebagai tokoh wanita Islam Sabah.
![]() |
| Tun Musa (tiga kiri) menyampaikan Anugerah Pengurusan terbaik Surau kategori kementerian/jabatan dan swasta kepada Surau Perkasa Hotel,Keningau, |
Anugerah kebesaran Ahli Darjah Kinabalu (1983) dan Ahli Setia Darjah Kinabalu (2000) yang diterima menjadi simbol pengiktirafan terhadap perjuangannya.
Pemilihan dua tokoh terbabit menyerlahkan keutuhan peranan mereka dalam memperkukuh nilai Islam, membela nasib rakyat dan membina kesejahteraan masyarakat secara inklusif di Sabah./ Penerangan-




Comments
Post a Comment