Bina Umat Madani Tanggungjawab Bersama – Tun Musa
Wartawan : Hamidah Len
Foto : Jefren Malaning / Mohd Rizal Matasan
KOTA KINABALU: Pembinaan umat madani yang progresif dan dinamik tidak hanya bergantung kepada kepimpinan semata-mata, sebaliknya menuntut iltizam serta tanggungjawab seluruh masyarakat.
![]() |
| Tun Musa (tengah) ketika menyampaikan perutusan khas. |
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menegaskan sambutan Ma’al Hijrah perlu menjadi medan muhasabah dan permulaan ke arah masa depan lebih sempurna, dengan menjadikan nilai dan prinsip Islam sebagai asas pembangunan menyeluruh.
![]() |
| Tun Musa (kanan) menyantuni belia yang menyertai reruai pameran sempena sambutan Ma'al Hijrah. |
“Umat Islam harus menjadikan semangat hijrah sebagai pencetus perubahan cara berfikir, budaya kerja dan hala tuju hidup.
"Progresif bermakna kita mara dalam bidang ilmu, ekonomi, teknologi dan pemikiran. Dinamik pula menuntut kita tangkas mendepani cabaran zaman dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan dunia.
![]() |
| Tun Musa (tengah) menerima cenderakenangan daripada Hajiji. |
“Namun, kemajuan tidak boleh dicapai dengan meniru tamadun lain. Ia harus dibina atas roh Islam dalam setiap bidang iaitu pendidikan, kepimpinan, ekonomi dan pembangunan insan,” katanya semasa perutusan khas Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1447H, pada Jumaat.
![]() |
| Nashraff Ideen Nahar membacakan ayat-ayat suci Al-Quran. |
Tun Musa yang ditemani isteri, Toh Puan Faridah Tussin, berkata perubahan harus bermula daripada dalam diri sebelum diperluas ke peringkat keluarga, komuniti dan negara untuk melahirkan generasi celik teknologi yang tinggi nilai akhlak serta budi pekerti.
Beliau turut menyuarakan cabaran utama dalam membangun umat madani adalah dengan adanya sikap radikal, tidak bertolak ansur, serta krisis moral dalam kalangan generasi muda.
![]() |
| Ustaz Kazim Elias menarik perhatian hadirin ketika sesi ceramahnya. |
“Pendidikan karakter perlu diperkukuh, dakwah perlu disampaikan dengan hikmah, dan penyalahgunaan media sosial mesti dikawal agar tidak menjadi medium menyebar kebencian,” ujarnya.
Tun Musa turut menekankan institusi keagamaan, pendidikan serta media massa memikul peranan besar dalam mencorak kesedaran kolektif umat Islam.
“Membina umat madani yang menjunjung nilai keadilan, toleransi dan penghargaan sesama insan adalah tanggungjawab yang harus digalas bersama, tanpa mengira kedudukan,” tambahnya./Penerangan.





Comments
Post a Comment