INFRA Perkasa Kepimpinan Wanita Luar Bandar Secara Mampan dan Inklusif

Wartawan : Suzaima Ibrahim

Foto : Shahvian Mohd Razali


KOTA KINABALU: Institut Kemajuan Desa (INFRA) menjadi platform penting dalam memacu komuniti luar bandar agar lebih berdaya saing serta berkeupayaan membangunkan komuniti masing-masing secara progresif, mampan dan inklusif.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, seminar kepimpinan wanita luar bandar yang berlangsung selama tiga hari itu bertujuan memberi kesedaran, maklumat, serta perkongsian idea dan pengalaman kepada pemimpin wanita luar bandar untuk melahirkan barisan pemimpin berkapasiti tinggi.  


Rubiah ketika ditemui media.

“Berkapasiti bermaksud dalam usaha memastikan luar bandar dibangunkan dengan lebih progresif, mampan dan inklusif.
  
“Kita tahu peranan dan tanggungjawab wanita amat tinggi, khususnya dalam penglibatan mereka menggerakkan pembangunan komuniti luar bandar,” katanya kepada media selepas merasmikan majlis penutupan Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar di sini, pada Khamis.  

Beliau menjelaskan seminar berkenaan turut memberi pendedahan terhadap aspek pembentukan karakter kepimpinan melalui sesi grooming serta membincangkan isu dan cabaran yang dihadapi wanita dalam memimpin masyarakat luar bandar.  

Dalam pada itu, Rubiah menyatakan INFRA kini diberi nafas baharu dengan pendekatan latihan lebih kreatif bagi memastikan impaknya lebih mendalam, selaras dengan dasar pembangunan luar bandar Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang meletakkan wanita sebagai antara 10 teras utama.

Menurutnya, peranan wanita amat signifikan dalam memperkukuh struktur sosial dan ekonomi komuniti desa, justeru INFRA memperkenalkan pendekatan interaktif termasuk pembangunan karakter, pendedahan isu kesihatan, pengurusan rumah tangga serta integriti kepimpinan dengan kerjasama agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Rubiah (tiga dari kiri) menyampaikan Sijil Kursus kepada wakil peserta UiTM (tiga dari kanan).


“Kursus ini memberi pengalaman baharu kepada pemimpin luar bandar khususnya mengenai peranan wanita serta isu berkaitan kesihatan, rumah tangga dan SPRM.

“SPRM juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh institusi kepimpinan luar bandar kerana ia bukan sekadar berkait dengan kewangan, tetapi turut melibatkan kuasa dan kapasiti pemimpin di pelbagai peringkat agar ia dapat diurus dengan lebih baik,” jelasnya.

Tambah Rubiah, walaupun program berkenaan tidak menerima peruntukan tambahan ketika ini, KKDW akan terus melaksanakan pendekatan kreatif bagi memastikan kesinambungan latihan tersebut yang relevan dengan keperluan semasa komuniti luar bandar termasuk aspek keusahawanan, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta pembangunan modal insan.

Pada tahun ini sahaja, INFRA telah melatih lebih 1,300 peserta wanita dari seluruh negara melalui lapan siri Kursus Pemerkasaan Komuniti Desa Modul Wanita melibatkan 400 peserta, dan tiga siri Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar membabitkan 900 peserta./Penerangan- 


Rubiah (berdiri, tengah) merakam kenangan bersama  semua peserta seminar berkenaan.


Comments

Popular posts from this blog

Kota Kinabalu Tuan Rumah SKAW Jun Ini

Kota Kinabalu Jadi Tuan Rumah ASEAN Women’s Conference 2025 Ogos Ini

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos