Singapura Buka Konsulat di Kota Kinabalu Pertengahan Tahun Ini
Wartawan : Idris Sani Saberun
Foto : Shahvian Mohd Razali
KOTA KINABALU : Singapura dijangka membuka pejabat konsulat di Kota Kinabalu menjelang pertengahan tahun ini.
Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon berkata pembukaan konsulat berkenaan bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama strategik antara Singapura dengan Sabah serta Sarawak.
![]() |
| Vanu (kanan) bersalaman dengan Tun Musa (tengah) sambil disaksikan Shivakumar (kiri). |
"Pada lawatan kali ini, kami telah meninjau beberapa lokasi yang berpotensi untuk dijadikan tapak konsulat dan akan membuat keputusan dalam tempoh beberapa minggu akan datang," katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Jumaat.
Menurut beliau, lawatan terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah adalah susulan keputusan kerajaan Malaysia pada November 2025 memberi kelulusan terhadap penubuhan konsulat Singapura di Sabah dan Sarawak.
Usaha tersebut diharap dapat meningkatkan kerjasama ekonomi, pelancongan dan perdagangan selain menarik lebih banyak pelaburan Singapura ke Sabah.
Mengulas mengenai sektor pelancongan, beliau berkata Singapura dan Sabah memiliki potensi untuk bekerjasama mempromosikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan utama Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan memanfaatkan tarikan semula jadi bertaraf dunia seperti Pulau Sipadan, Lembangan Maliau dan Lembah Danum.
![]() |
| Tun Musa (kiri) bergambar kenangan bersama Vanu (kanan) di Istana Seri Kinabalu. |
Hadir sama,Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Singapura, Shivakumar Nair dan Setiausaha Politiknya, Nicole Neo./Penerangan-




Comments
Post a Comment