Balai Cerap Al-Biruni Berpotensi Jadi Pusat Falak dan Ikon Pelancongan Ilmu Sabah
Wartawan: Abdu Azmie Mohd Ibrahim
Foto: Merusin Minuddin
PUTATAN: Balai Cerap Al-Biruni berpotensi dibangunkan sebagai pusat pendidikan dan penyelidikan ilmu falak serta astronomi yang komprehensif di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata balai cerap boleh dibangunkan sebagai pusat pendidikan berdaya saing, berteknologi tinggi dan destinasi pelancongan ilmu (astro-tourism) yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sabah.
"Bagi merealisasikan hasrat ini, aspek infrastruktur perlu diperkasa dan dilengkapkan dengan kemudahan yang benar-benar bersedia serta mematuhi tahap yang sewajarnya.
"Ini termasuklah penambahbaikan fasiliti cerapan, ruang pameran interaktif, dewan pembelajaran dan kemudahan pengunjung serta akses yang lebih mesra pelancong.
"Kerajaan negeri sedia membantu agar balai cerap ini mampu muncul sebagai antara ikon pelancongan ilmu di Sabah," katanya semasa Majlis Rukyah Hilal Rasmi (Ramadan, Syawal dan Zulhijjah) Peringkat Negeri Sabah 1447H/2026, pada Selasa.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Arifin Mohd Arif.
Hajiji turut menyatakan keyakinan dengan perancangan strategik dan kerjasama pelbagai pihak, balai cerap akan menjadi kebanggaan umat Islam dan seluruh rakyat Sabah.
| Arifin berdiri (enam dari kiri) bergambar kenangan bersama ahli jawatankuasa. |
| Ustaz Bungsu (duduk dua dari kiri) menyampaikan keputusan cerapan kepada penyimpan mohor besar Raja-raja. |
“Semoga generasi muda yang hadir pada hari ini dapat melihat bidang falak dan astronomi mempunyai ruang yang luas untuk diterokai dan berpotensi menjadi kerjaya yang menyumbang kepada pembangunan ummah dan negara,” ujarnya.
Sementara itu, Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berkata Majlis Rukyah Hilal Ramadan kali ini berjalan lancar dan berharap agar seluruh umat Islam menyambut Ramadan dengan penuh keimanan dan ketakwaan.
“Kita jadikan Ramadan sebagai wadah pengabdian diri kepada Allah SWT dan peluang untuk berubah menjadi insan lebih baik dengan meninggalkan perkara sia-sia.
"Saya juga berharap agar seluruh umat Islam di Sabah dapat meningkatkan amalan, kesatuan bersama dengan masyarakat dan elakkan perpecahan walaupun kecil serta bersama-sama mengimarahkan Ramadan pada kali ini," jelasnya.
Hadir sama, Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya; Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih; Yang dipertua Majlis Ugama Islam, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin; ADUN Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari dan ADUN Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya./Penerangan
Comments
Post a Comment