Galeri Polis Negeri Sabah Sebagai Pusat Rujukan Sejarah Negara
Wartawan : Siscalistorina Janius
Foto : Johny G. Kimlon
KOTA KINABALU: Galeri Polis Negeri Sabah kini menjadi antara tiga galeri utama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berfungsi sebagai pusat rujukan sejarah negara.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata galeri tersebut melengkapkan rantaian sejarah penting pasukan selain Galeri Darurat Bukit Kepong di Johor dan Galeri Ketua Polis Negara di Kuala Lumpur.
"Pada 12 Mac 2025, Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Sri Abdul Aziz Abdul Majid memberi persetujuan rasmi untuk premis ini dinamakan Galeri Polis Negeri Sabah.
"Bermula tarikh itu galeri ini diletakkan di bawah seliaan Muzium Kepolisan PDRM Kuala Lumpur bagi memastikan pemeliharaan artifak dan dokumentasi mengikut piawaian kepolisian uang ditetapkan.
"Galeri ini sebuah platform penceritaan yang mendokumentasikan perjalanan panjang PDRM di negeri Sabah yang tercinta sejak awal penubuhannya dan menjadi nadi kepada penghargaan yang tidak terhingga buat seluruh pegawai dan anggota PDRM yang pernah dan sedang mencurahkan bakti di negeri ini.
"Setiap artifak dan naratif yang dipamerkan adalah testimoni kepada pengorbanan wira Sang Saka Biru dalam memastikan kedaulatan sabah sentiasa terpelihara," ujarnya semasa Majlis Perasmian Galeri Polis Negeri Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, pada Rabu.
Perasmian galeri itu disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Jauteh menjelaskan kewujudan galeri itu adalah hasil keprihatinan serta sokongan tidak berbelah bahagi kerajaan negeri sejak peringkat awal perancangan sehingga perasmiannya.
Menurutnya sokongan material dan moral daripada kerajaan negeri menjadi kunci utama dalam merealisasikan penubuhan galeri tersebut.
Beliau menjelaskan idea penubuhan galeri mula dicetuskan pada 2018 dan perancangan rapi bermula pada 2019 namun projek terhenti akibat pandemik COVID-19 pada 2020 hingga 2021.
"Pada 2022, hasil perbincangan bersama kerajaan negeri peruntukan awal sebanyak RM1.15 juta diluluskan bagi memulakan pembinaan galeri dan tugu peringatan Ops Daulat di Lahad Datu.
“Pada akhir 2023 kerajaan negeri menambah peruntukan sebanyak RM2.5 juta dengan RM2 juta untuk kelengkapan galeri dan RM500,000 bagi memastikan tugu Ops Daulat berdiri megah sebagai mercu tanda keberanian wira negara,” jelasnya.
Menurutnya, galeri ini bukan sahaja memaparkan sejarah polis Sabah, persenjataan dan peralatan kepolisan malah turut menyimpan artifak penting daripada Ops Daulat.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untung; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan./Penerangan-
Comments
Post a Comment