Yayasan Petronas Sumbang 30 Peranti Satelit Bantu Pemuliharaan Penyu

Wartawan    : Afisya Syazrin Ahmad Sunazneen
Jurufoto        : 
Vicky Sylvester Matanjang


KOTA KINABALU : Yayasan Petronas menyumbang 30 unit peranti penjejakan satelit kepada Marine Research Foundation (MRF) bagi menyokong pemuliharaan biodiversiti marin di Sabah.

Peranti berkenaan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Nelly Shariah Francis kepada Ketua Pegawai Program MRF, Liyana Izwin Khalid semasa Majlis Iftar Petronas, pada Khamis.


Nelly  (dua dari kanan) menyerahkan plaque sumbangan peranti penjejakan satelit kepada Liyana.

Suasana Majlis Iftar Petronas meriah dengan kehadiran tetamu jemputan dan rakan media.


Menurut kenyataan Petronas, peranti penjejakan itu akan dipasang pada 10 ekor penyu hijau dan 20 ekor penyu sisik di beberapa lokasi strategik termasuk Pulau Gulisan, Pulau Selingan, Pulau Lankayan, Pulau Sipadan dan Pulau Pom Pom.

Penggunaan teknologi berkenaan bertujuan memetakan habitat kritikal seperti kawasan rumput laut dan terumbu karang yang menjadi habitat utama spesies penyu.

Data yang diperoleh dijangka membantu penyelidik memahami corak pergerakan penyu seterusnya menyokong perancangan pemuliharaan jangka panjang serta perlindungan ekosistem marin di negara ini.

Melalui inisiatif itu, Petronas berharap usaha pemuliharaan penyu dan perlindungan habitat marin di Sabah dapat diperkasa disamping menyediakan data penting bagi membantu penyelidik merancang langkah pemuliharaan yang lebih berkesan dan menyeluruh.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong; Mayor Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Seri Dr Sabin Samitah; Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia, Datuk Ir (Dr) Bacho Pilong serta Pengurus Besar Pejabat Petronas Wilayah Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab./Penerangan-


Comments

Popular posts from this blog

Kota Kinabalu Tuan Rumah SKAW Jun Ini

Kota Kinabalu Jadi Tuan Rumah ASEAN Women’s Conference 2025 Ogos Ini

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos