3,000 Pengunjung Meriahkan Sambutan Kaamatan DBKK
Wartawan : Nur Aliah Safiah
Foto : Renaldo Fernandez
KOTA KINABALU : Kira-kira 3,000 pengunjung menghadiri Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) 2026 yang berlangsung meriah sebagai platform penting dalam memelihara warisan budaya negeri.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, sambutan itu bukan sahaja mengekalkan tradisi masyarakat setempat, malah turut menyumbang kepada perkembangan sektor pelancongan dan ekonomi bandar raya.
Sabin ketika menyampaikan ucapannya.
"Pesta Kaamatan bukan sekadar perayaan menuai, tetapi lambang kesyukuran, perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sabah.
"Sambutan seperti ini amat penting bagi Bandaraya Kota Kinabalu kerana ia memperkukuh warisan budaya, mengeratkan hubungan masyarakat serta menyumbang kepada kemeriahan pelancongan dan ekonomi bandaraya," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu 2026 di sini, pada Ahad.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Dalam pada itu, Sabin turut merakamkan penghargaan kepada Asian Pac Holdings Berhad dan pengurusan Imago Shopping Mall atas sokongan sebagai rakan strategik utama dalam menjayakan sambutan berkenaan.
Joniston (empat dari kiri) ketika merasmikan majlis dengan tujuh kali paluan gong yang disaksikan oleh Sabin (dua dari kiri).
Beliau turut menghargai komitmen jawatankuasa penganjur, warga kerja DBKK dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan program itu berjalan lancar dan berjaya.
Sambutan berkenaan, dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan termasuk Tarian Sambut Tamu serta acara simbolik 'Mongomot Parai' atau menuai padi sebagai lambang tradisi dan warisan budaya masyarakat Kadazandusun.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Chan Foong Hin; Ketua Pengarah DBKK, Datuk Sr Lifred Wong dan Pengarah Asian Pac Holdings Berhad, Michael Mah./Penerangan-
Sabin (dua dari kiri) dan Joniston (empat dari kiri) bersama pemenang UN DBKK 2026.
Comments
Post a Comment