Kaamatan 2026: Wadah Perpaduan, Pemacu Ekonomi, Identiti Global Sabah
Wartawan : Nazri Ramshah
Foto : Jeffren Malaning
PAPAR : Tema Pesta Kaamatan tahun ini, "Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian" diangkat sebagai satu seruan penting buat seluruh rakyat Sabah untuk terus memperkukuh ikatan perpaduan tanpa mengira latar belakang dan kepercayaan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam menegaskan bahawa kepelbagaian yang wujud di negeri ini adalah asas kekuatan sebenar rakyat Sabah dalam menempuh arus modenisasi.
Joachim ketika menyampaikan ucapan alu-aluan semasa Majlis Pelancaran Pesta Kaamatan 2026 di Dewan Masyarakat Papar.
"Kepelbagaian yang wujud di negeri ini adalah asas kekuatan sebenar rakyat Sabah. Kita semua adalah pewaris kepada legasi nenek moyang, anak-anak tani yang membina kehidupan berteraskan nilai kesatuan, kerja keras dan semangat kebersamaan.
"Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan warisan ini terus dipelihara dan dipertahankan agar tidak luput ditelan arus zaman," katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Pelancaran Pesta Kaamatan 2026 di Dewan Masyarakat Papar pada Jumaat.
Majlis dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor selain turut dihadiri oleh isterinya Datin Seri Panglima Juliah Salag.
Beliau yang juga merangkap sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 turut berkata objektif utama sambutan tahun ini adalah untuk menyemarakkan semangat harmoni selaras dengan aspirasi tema yang dipilih, selain mengetengahkan kekayaan budaya tempatan.
Menurut Joachim, penganjuran pesta tahunan ini juga bertujuan memperkukuh peranan daerah luar bandar sebagai pemangkin utama kepada sektor pelancongan dan pemuliharaan warisan budaya negeri.
"Dengan keunikan adat dan tradisi kita, Pesta Kaamatan mampu menarik perhatian masyarakat global sekali gus memperkenalkan identiti Sabah kepada dunia luar.
"Kehadiran pelancong akan merancakkan sektor perhotelan, kraftangan serta industri kecil dan sederhana (IKS), yang secara tidak langsung memberi limpahan manfaat ekonomi kepada rakyat di pelbagai peringkat," jelasnya.
Joachim (dua dari kanan) menyerahkan cenderahati kepada Hajiji (kanan) .
Beliau percaya Pesta Kaamatan mempunyai prospek besar untuk diangkat sebagai salah satu festival budaya utama di peringkat antarabangsa.
Bagi mencapai matlamat itu, Joachim memaklumkan bahawa usaha promosi akan dipergiatkan secara lebih strategik melalui platform digital dan kerjasama dengan agensi pelancongan antarabangsa bagi menarik minat generasi muda serta pelancong global.
Beliau turut menyatakan komitmennya sebagai Pengerusi Pelaksana Induk untuk memastikan festival itu terus diperkasa sebagai lambang perpaduan dan pemacu imej Sabah sebagai destinasi pelancongan budaya yang unggul.
Joachim berharap agar sambutan tahun ini menjadi platform untuk rakyat terus menghulurkan tangan persahabatan dan mempererat silaturahim demi memastikan identiti budaya Sabah kekal subur dan disegani sepanjang zaman.
Antara yang turut hadir dalam majlis tersebut, Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick, Ahli Parlimen P.175 Papar Datuk Armizan Mohd Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong dan Setiausaha Persekutuan Sabah./Penerangan-
Joachim (dua dari kiri) bersama Hajiji (tiga dari kiri) melakukan mengomot parai sebagai simbolik perasmian majlis.
Comments
Post a Comment