Papar Jadi Tumpuan Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2026, Tonjol Semangat Perpaduan
Wartawan : Mohd Irfan
Foto : Jeffren Malaning
PAPAR : Daerah Papar hari ini menjadi pusat tumpuan seluruh pelosok Sabah apabila terpilih sebagai tuan rumah bagi Majlis Pelancaran Rasmi Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026.
Majlis yang penuh dengan tradisi kebudayaan itu disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Dewan Masyarakat Papar, di sini hari ini.
Pegawai Daerah Papar, Muhammad Mohd. Ali, yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana berkata, pemilihan daerah itu sebagai lokasi pelancaran membawa signifikasi besar terhadap identiti Pesta Kaamatan itu sendiri.
"Pemilihan Papar sebagai lokasi pelancaran tahun ini amat bermakna. Selain pesat membangun, daerah ini masih mengekalkan kira-kira 400 hingga 450 hektar kawasan sawah padi yang merupakan sumber makanan utama dan nadi kehidupan penduduk setempat," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Menurut Muhammad, keunikan Papar yang didiami oleh masyarakat pelbagai kaum, etnik dan agama yang hidup rukun juga menjadikan ia lokasi paling tepat bagi menterjemahkan tema sambutan tahun ini iaitu ‘Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian’.
Beliau berkata, Pesta Kaamatan bukan sekadar meraikan hasil tuaian yang melimpah-ruah, malah ia berfungsi sebagai simbol kekuatan budaya dan wadah memperkukuh integrasi nasional dalam kalangan rakyat negeri ini.
"Sambutan ini adalah refleksi semangat kerjasama erat antara kepimpinan kerajaan, wakil rakyat, dan seluruh jentera pelaksana dalam memastikan tradisi nenek moyang terus relevan dalam arus modenisasi," tambahnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor yang sentiasa mengimbangi arus pembangunan fizikal dengan pemerkasaan kesejahteraan rakyat, tanpa meminggirkan usaha memelihara adat dan budaya warisan.
Majlis pelancaran tersebut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dan kehadiran pemimpin masyarakat setempat termasuk Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri yang bersama-sama meraikan pembukaan pesta yang berlangsung sepanjang bulan Mei ini.
Pesta Kaamatan merupakan perayaan tahunan masyarakat Kadazandusun Murut Rungus (KDMR) di Sabah sebagai tanda kesyukuran kepada 'Bambazon' (semangat padi) atas hasil tuaian yang diperoleh./Penerangan
Comments
Post a Comment