Penantian Lima Tahun Berakhir, Impian Pensyarah UMS Tunai Haji Jadi Kenyataan

Wartawan: 

Foto: Volintine Jiloh


KOTA KINABALU : Impian Pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Berhaman Ahmad, 58, akhirnya menjadi kenyataan apabila rayuannya diterima bagi musim haji 1447H/2026M.


Berhaman berkata, ketika menerima panggilan daripada Tabung Haji (TH), beliau berasa sangat gembira kerana tahun ini sudah masuk tahun kelima beliau membuat rayuan.

"Panggilan itu panggilan yang sangat dinantikan selepas beberapa tahun menunggu peluang menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.

“Ini pengalaman sekali seumur hidup, bila balik nanti bukan mudah untuk dapat peluang lagi, jadi saya memang sangat bersyukur dipilih tahun ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Mengucapkan Selamat Berangkat kepada Jemaah Haji Negeri Sabah di Dewan Kinabatangan III, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Isnin.

Beliau yang juga Pensyarah dan penyelidik di Fakulti Sains Perhutanan Tropika, UMS memaklumkan pelbagai persediaan dilakukan sebagai persiapan menghadapi ibadah haji termasuk menghadiri kursus anjuran TH selain menjaga tahap kesihatan dan kecergasan fizikal.

"Kursus yang diadakan memang sangat membantu, banyak pendedahan diberikan kepada bakal jemaah.

"Dari segi persediaan fizikal pula, saya cuba berjoging setiap petang kerana di sana cuaca panas dan kita perlu banyak berjalan,” ujarnya.

Tun Musa (kiri) menyampaikan sumbangan kepada bakal jemaah haji.

Beliau turut menyambut baik mekanisme pemilihan jemaah yang diumumkan TH baru-baru ini yang mengambil kira kemampuan kewangan bakal jemaah selain berharap mereka yang membuat rayuan turut diberikan peluang pada masa akan datang.

“Semoga semua jemaah dipermudahkan urusan, dikurniakan kesihatan yang baik dan memperoleh haji mabrur,” tambahnya lagi.

Berhaman merupakan antara 142 bakal haji yang berlepas dari Kota Kinabalu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam Isnin bagi menjalani proses Makkah Route sebelum meneruskan perjalanan ke Tanah Suci.

Turut berangkat menyempurnakan majlis itu ialah Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman./Penerangan-


Comments

Popular posts from this blog

Kota Kinabalu Tuan Rumah SKAW Jun Ini

Kota Kinabalu Jadi Tuan Rumah ASEAN Women’s Conference 2025 Ogos Ini

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos