Sabah Catat Pencapaian Terbaik SPM 2025

 Wartawan: Deonalisa Jekee Edin

Foto: Marusin Menudin


KOTA KINABALU : Sabah mencatat sejarah baharu apabila merekodkan Gred Purata Negeri (GPN) 4.85 bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, pencapaian terbaik pernah dicapai setakat ini.


Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, kejayaan itu membuktikan anak-anak Sabah mampu mencapai kecemerlangan sekiranya mendapat kerjasama dan sokongan berterusan daripada guru serta ibu bapa.

Raisin ketika ditemui media.


"Bagi pencapaian tahun 2025, daripada 24 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Sabah, sebanyak 15 PPD berjaya mencatat keputusan di bawah GPN 5, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pencapaian keseluruhan negeri.

"Ini kali pertama Sabah dapat mencatat keputusan yang seimbang dengan negeri-negeri lain dan kita berharap momentum ini dapat diteruskan pada tahun 2026.

"Kejayaan ini adalah hasil daripada usaha yang konsisten, disiplin yang tinggi serta kesungguhan yang tidak pernah luntur walaupun berdepan cabaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan SPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025 yang diadakan di sini, pada Khamis.

Chin Kai Yi (tiga dari kiri) bersama penerima anugerah yang lain.

Menurut beliau, bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pada tahun ini Sabah telah mencatatkan GPN 4.85, yang merupakan pencapaian terbaik dalam sejarah negeri. Peperiksaan ini melibatkan pengoperasian sebanyak 320 pusat peperiksaan, dengan seramai 35,234 orang calon berdaftar yang menduduki peperiksaan.

"Dalam masa yang sama, pencapaian bagi peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) turut menunjukkan peningkatan yang signifikan iaitu Sabah mencatatkan GPN 2.89 pada tahun ini, berbanding GPN 3.06 pada tahun 2024," ujarnya.

Sementara itu, mengulas isu cuaca panas khususnya di Telupid, beliau berkata pihak kementerian dan jabatan pendidikan sentiasa memantau perkembangan cuaca serta mendapatkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia.


"Semua sekolah dan PPD telah diingatkan supaya mematuhi garis panduan yang ditetapkan sekiranya berlaku cuaca panas melampau termasuk memberi kelonggaran kepada murid memakai pakaian yang sesuai dan mengurangkan aktiviti luar bilik darjah.

"Namun setakat ini keadaan cuaca khususnya di Telupid masih terkawal dan sesi persekolahan berjalan seperti biasa, namun pihak sekolah diminta terus berjaga-jaga demi keselamatan dan keselesaan murid," tambahnya.

Raisin (depan, dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Landskap Baharu Jabatan Pendidikan Negeri Sabah kepada Pegawai Pendidikan Daerah Penampang, Rusmadi Ahmad (tiga dari kanan).

Dalam majlis berkenaan, sebanyak 18 kategori anugerah disampaikan melibatkan 222 penerima terdiri daripada PPD, pelajar lepasan SPM dan STAM 2025 dan pihak sekolah.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD, Indang Kasi Sibin, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Nurani Fauziah Derin dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan, Siti Hamni @ Ani Hashim./Penerangan-

Comments

Popular posts from this blog

Kota Kinabalu Tuan Rumah SKAW Jun Ini

Kota Kinabalu Jadi Tuan Rumah ASEAN Women’s Conference 2025 Ogos Ini

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos